Sedih tidak layak ke Piala Asia tapi percaya Singapura akan bangkit lagi 5-6 tahun – Christopher van Huizen

1,734

Pertahanan kanan Tampines Rovers, Christopher van Huizen yang turut menyarung jersi pasukan kebangsaan Singapura memandang ke depan meskipun gagal membawa negaranya ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Kami sedih kerana tidak layak tapi kita tahu yang bola sepak Singapura sedang meningkat naik dan kami percaya lima ke enam tahun kita akan berada di atas semula,”

katanya.

Beliau yang berjaya membuat tiga penampilan bersama pasukan kebangsaan baru-baru ini percaya peluang itu dapat dijadikan persediaan yang bagus untuknya sebelum beraksi di Piala AFC 2022 ini.


“Persediaan sangat mantap dan pengalaman bersama pasukan negara ditambah dengan kemenangan menentang Geylang International FC sebelum ini menjadi motivasi yang bagus.”

Pemain berusia 29 tahun itu kembali bersama pasukan Tampines Rovers setelah keluar berkelana ke kelab lain seperti Geylang dan Home United.

Beliau percaya kerjasama di antara pemain baru dan lama mampu memberi kelebihan kepada pasukan untuk mencapai kemenangan pada setiap perlawanan.

“Saya tidak menganggap diri saya sebagai pemain harapan kerana saya sama seperti yang lain.

Kehadiran pemain-pemain berpengalaman membantu saya untuk lebih memahami falsafah yang akan menjadikan kami lebih baik.”

Pemain ini telah berjaya menjaringkan dua gol dalam sembilan perlawanan sejak kepulangan beliau ke pasukan itu pada Januari 2022.

Perlawanan antara Tampines Rovers menentang PSM Makassar pada 27 Jun akan menjadi ujian pertama mereka sebelum bertemu tuan rumah, KL City FC di perlawanan terakhir Kumpulan H dalam saingan Piala AFC 2022.

“Kami tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi tetapi kami akan memberikan 110% pada setiap perlawanan dan pendekatan untuk memenangi perlawanan.”

Van Huizen telah mengumpul lapan caps bersama pasukan kebangsaan Singapura semenjak November 2015.