Liga tempatan tapak terbaik perbaiki kualiti ‘ubi muda’ negara

118

Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyokong penganjuran liga tempatan yang semakin bercambah sebagai salah satu usaha berkesan untuk mencungkil bakat baru dalam negara.

Beliau percaya bahawa pendedahan yang diberikan dari peringkat akar umbi kepada pemain muda mampu membantu membina karakter dan kualiti pemain yang baik di masa hadapan.


Sebagai contoh, penganjuran pertandingan seperti Piala Menteri Besar Kedah perlu diteruskan tahun demi tahun bagi menyediakan peluang yang besar kepada pemain muda untuk mempamerkan kebolehan mereka untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

Seperti yang sedia maklum, pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC merupakan antara negeri yang terkenal dengan penghasilan ‘ubi muda’ berkualiti antaranya Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Fayyadh Zulkifli dan ramai lagi.

Inisiatif ini adalah langkah terbaik yang boleh diambil untuk membantu mengenal pasti bakat muda bagi meningkatkan semula kualiti pemain dari semua negeri.  

Kelab-kelab di Liga Malaysia perlu memanfaatkan peluang ini untuk membangunkan pasukan yang lebih berkualiti di masa hadapan.

Duit mungkin menjadi sumber utama kejayaan bagi saingan kompetitif namun pembinaan akar umbi juga perlu dititikberatkan oleh kesemua pasukan di Malaysia.

Ini kerana, masa depan bola sepak negara bergantung sepenuhnya kepada pemain muda yang dimiliki oleh negara pada masa ini.

Kumpulan pemain muda inilah yang akan mewarnai saingan Liga Malaysia dan mewakili negara bagi lima tahun ke hadapan.

Inisiatif yang diambil oleh pasukan Liga Malaysia seperti Kelantan FC, Terengganu FC dan Selangor FC dalam menggunakan tenaga muda di dalam pasukan harus dipuji dan dijadikan contoh oleh pasukan lain.

Perkara ini bukan saja memberi kelebihan kepada kelab namun akan membantu pasukan negara untuk menyenaraikan pemain yang berkualiti bagi menyarung jersi kebangsaan.

Hasil yang boleh dilihat apabila kebanyakan pemain dari Selangor FC dan Terengganu FC telah dipilih untuk bersama pasukan B-23 negara di beberapa kejohanan sebelum ini.

Tambahan pula, kesinambungan yang baik antara pasukan muda dan senior akan memberi kelebihan yang baik dalam membantu pasukan negara untuk meningkatkan prestasi.