Padang di Malaysia berbeza tetapi kami akan fokus kepada kekuatan kami – Ketua jurulatih Tampines Rovers

707

Ketua jurulatih Tampines Rovers, Gavin Lee tidak mahu terlalu memikirkan faktor perbezaan padang antara Singapura dan Malaysia, sebaliknya akan memfokuskan kepada kekuatan pasukannya pada saingan Piala AFC 2022.

Menurut Lee, mereka dari awal sudah menjangkakan akan berdepan pelbagai perbezaan apabila bermain di negara lain.


“Sudah tentu padang kedua-dua negara berbeza tetapi jika mahu lihat dari sudut itu, banyak lagi perbezaan lain yang terdapat antara kedua-dua negara.

Ia adalah faktor luaran yang perlu kami atasi dan di luar kawalan kami, jadi kami hanya mahu fokus menampilkan prestasi yang baik pada kejohanan ini,”

katanya.

Beliau juga mengakui kesempatan untuk menyaksikan dua lawan dalam Kumpulan H, KL City FC dan PSM Makassar beraksi terlebih dahulu memberi mereka sedikit kelebihan kerana dapat menganalisa pihak lawan.

Namun menurutnya bermain dua perlawanan dalam masa empat hari adalah salah satu cabaran buat pasukannya kerana kurang masa berehat berbanding KL City.

Perlawanan pertama Tampines Rovers adalah pada 27 Jun menentang PSM Makassar, sebelum berdepan cabaran tuan rumah pada 30 Jun.

Bagi perlawanan menentang PSM Makassar nanti, Lee berkata beliau akan menyaksikan perlawanan antara pasukan itu menentang KL City terlebih dahulu sebelum menyusun strategi.

Tambahnya persiapan pasukan berada dalam keadaan baik setakat ini dan sasarannya adalah untuk layak ke pusingan seterusnya.