PSM benar-benar mahu baik pulih SNBJ atau hanya sekadar cakap kosong?
Cakap tak serupa bikin! Itulah kenyataan yang boleh diberikan kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) apabila mereka yang sebelum ini menyatakan akan menutup Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bermula 15 Jun untuk kerja baik pulih tidak berlaku.
Selepas insiden memalukan negara yang mana padang bertukar menjadi ‘bendang’ ketika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 membabitkan Malaysia menentang Bahrain 11 Jun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah memaklumkan bahawa SNBJ akan ditutup untuk kerja-kerja baik pulih.
Ahmad Faizal berkata kerja baik pulih yang sepatutnya bermula pada Mac 2023 terpaksa dicepatkan dan tidak boleh ditangguhkan lagi.
Bagaimanapun tidak sampai beberapa hari, PSM menerusi Facebook rasmi mereka telah memuat naik foto yang memaparkan Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalil sedang berlangsung pada 19 Jun.
Ia telah menimbulkan persoalan dan kekeliruan orang ramai yang tertanya-tanya adakah SNBJ benar-benar ditutup atau sebaliknya.
Belum lagi reda dengan isu itu, timbul pula satu lagi isu apabila SNBJ akan menjadi lokasi untuk konsert antarabangsa oleh penyanyi terkenal Billie Eilish yang dijadualkan akan berlangsung pada Ogos depan.
Jadi bila sebenarnya SNBJ akan ditutup? Adakah PSM benar-benar mahu baik pulih stadium atau sekadar cakap kosong?
Ini kerana sehingga ke hari ini PSM seperti tiada inisiatif untuk menaik taraf padang apabila mereka dilihat seperti terus mengambil tempahan stadium dan ini nyata mencetuskan kegusaran ramai terutamanya penyokong bola sepak tanah air kerana SNBJ adalah home buat Harimau Malaya.
Penyokong memang tidak sanggup melihat stadium keramat itu dipandang hina di mata dunia seperti yang berlaku baru-baru ini apabila keadaan padang menjadi seperti ‘bendang’ apabila hujan lebat dan lebih memburukkan keadaan apabila pekerja stadium menggunakan penyodok sampah untuk tolak air.
Sekiranya isu padang SNBJ tidak diselesaikan dalam tempoh terdekat ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengancam akan menggantung stadium tersebut dari menganjurkan sebarang kejohanan bola sepak di bawah badan induk itu pada masa akan datang.
Dalam pada itu, selain isu padang ‘bendang’, satu lagi isu sedang hangat diperkatakan ketika ini iaitu dimana hilangnya penutup padang yang dibeli PSM untuk Sukan SEA 2017.
Isu penutup padang ini didedahkan oleh Anggota Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Chris Raj dalam satu rancangan tembual bola sepak baru-baru ini.
Sistem saluran peparitan padang berfungsi dengan baik semalam semasa hujan lebat.. Tak perlu kaedah manual macam ni yang merosakkan padang.
— Twt_BukitJalil 🏟 (@twt_bukitjalil) June 12, 2022
Kenapa @FAM_Malaysia menggelupur araf staff sodok air? 🧐😱 https://t.co/ZeV0pYKKIb pic.twitter.com/J3ZTArVpST
Perkara itu dibangkitkan Chris Raj selepas PSM seolah-olah menuding jari kepada FAM atas keadaan padang teruk pada perlawanan tersebut.
Malah di laman sosial Twitter rasmi PSM juga memperlihatkan mereka seperti menyalahkan FAM kerana mengarahkan staf untuk menyodok air di padang.
Sejak isu penutup padang dibangkitkan, masih belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh PSM bagi menjawab persoalan dimanakah penutup padang tersebut? Adakah masih ada atau sudah hilang? Hanya mereka sahaja yang boleh menjawabnya.
Diharap pihak PSM dapat tampil untuk menjawab dan menjelaskan segala persoalan, huru-hara dan kekeliruan yang berlaku ketika ini.