Kami tiada penyerang tengah, Safee berkemungkinan besar akan diturunkan – Bojan Hodak
Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak memberi bayangan bahawa penyerang veteran Safee Sali berkemungkinan besar akan diturunkan pada perlawanan pembukaan Piala AFC 2022 Kumpulan H menentang PSM Makassar.
Menurut Bojan, beliau harus membuat keputusan penting sama ada mahu menggugurkan penyerang ataupun penjaga gol import pada perlawanan itu sebelum memikirkan mengenai kesebelasan utama.
“Dalam skuad ini kami tidak mempunyai penyerang tengah, jadi saya harus memikirkan bahagian mana yang harus dikorbankan.
Jika saya meletakkan pemain import di posisi penjaga gol, Safee mempunyai peluang cerah untuk diturunkan dan sebaliknya,”
katanya.
Dalam pada itu, Bojan berkata pemainnya sudah tidak memikirkan kekalahan kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super Sabtu lalu sebaliknya mereka fokus sepenuhnya kepada saingan Piala AFC.
Katanya perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu adalah persediaan yang baik buat anak buahnya menjelang kejohanan Piala AFC.
“Ini adalah pelawanan berbeza dan selepas ini kita akan turun dalam perlawanan-perlawanan besar lain jadi kita harus fikir ke hadapan.
Para pemain pun sangat tidak sabar untuk beraksi dalam kejohanan ini dan beberapa pemain tidak pernah bermain di pentas Asia jadi mereka mahu capai sesuatu.”
KL City akan turun menentang PSM Makassar Jumaat ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.