Urawa Red Diamonds semakin tenat? JDT boleh ambil kesempatan di pusingan 16 ACL

1,937

Sebaik sahaja lawan di pusingan 16 atau kalah mati AFC Champions League (ACL) diketahui, ramai penyokong yang mula mengorek cerita atau perkembangan terkini pihak lawan termasuklah penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mula memberi tumpuan kepada Urawa Red Diamonds.

Kelab dari Jepun yang berpengkalan di Bandar Saitama itu akan menjadi lawan JDT pada pusingan 16 nanti telah dipilih sebagai tuan rumah berpusat sehingga ke pusingan separuh akhir ACL 2022 bagi Zon Timur.


JDT dilihat berada dalam prestasi terbaik dan berkemungkinan mampu mencipta kejutan dan sejarah baru bola sepak Malaysia sekiranya mereka berjaya menumpaskan Urawa Red nanti.

Tambahan pula prestasi semasa Urawa Red semakin merosot apabila mereka baru sahaja ditewaskan oleh pasukan dari J2-League dalam saingan Emperor’s Cup.

Kekalahan di tangan Thespakusastsu Gunma juga menyaksikan penyokong setia mereka berang dan bertindak memaki pemain apabila kesemua pemain Urawa Red bertemu dengan penyokong selepas tamat perlawanan.

Selain gagal di Emperor’s Cup, prestasi pasukan itu dalam saingan liga juga tidak begitu baik apabila mereka kini berada di kedudukan ke-13 J-League selepas 17 perlawanan, sekaligus membuka peluang yang luas untuk JDT mengambil kesempatan atas situasi semasa pihak lawan.

Bagaimanapun JDT tidak boleh memandang rendah kepada pihak lawan biarpun mereka kini dalam situasi terumbang-ambing kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.

Tambahan pula berdasarkan keputusan saingan J-League, Urawa Red bukanlah sebuah pasukan belasahan walaupun berada di kedudukan ke-13, sebaliknya mereka hanya kalah lima perlawanan sahaja.

Jumlah kekalahan itu sama seperti pasukan yang berada di kedudukan keempat iaitu Kashiwa Reysol.

Punca yang menyebabkan Urawa Red berada di kedudukan bawah ketika ini adalah kerana mereka ‘king’ seri.

Ini terbukti apabila mereka merupakan pasukan paling banyak seri di antara 18 pasukan dengan sembilan perlawanan seri.

Di atas kertas, kedua-dua pasukan Urawa Red dan JDT dilihat mempunyai peluang yang seimbang berdasarkan prestasi semasa.

Tetapi JDT perlu berwaspada dengan ancaman pihak lawan kerana Urawa Red bukanlah calang-calang pasukan kerana mereka merupakan dua kali juara ACL (2007 & 2017), dan juga naib juara pada edisi 2019.

Malah mereka juga pernah berjaya meraih kedudukan ketiga dalam kejohanan FIFA Piala Dunia Kelab pada tahun 2007.

Jadi penyokong kedua-dua pasukan boleh menjangkakan satu perlawanan sengit bakal berlaku pada 18 Ogos ini bagi merebut tiket ke suku akhir ACL 2022.

Adakah Urawa Red akan layak seperti biasa? Atau JDT akan mencipta sejarah baru layak ke suku akhir? Sama-sama kita tunggu.