Piala Dunia B-20 2023, Indonesia sudah sepuluh langkah ke depan dari Malaysia!
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah kepada kejohanan bola sepak bertaraf Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) adalah semasa menganjurkan Piala Dunia B-20 pada tahun 1997.
Selepas 25 tahun, Malaysia dilihat masih gagal mengulangi kejayaan ini dan masih berada di takuk yang lama.
Pelbagai faktor yang mempengaruhi perkara ini termasuk pencapaian semasa skuad kebangsaan.
Selain daripada kejayaan layak ke Piala Asia 2023, pencapaian skuad kebangsaan masih berada di tahap yang kurang memuaskan.
Ditambah dengan ketiadaan fasiliti bertaraf dunia seperti padang latihan dan stadium turut menjadi antara punca utama kegagalan ini.
Baru-baru ini, keadaan padang yang teruk di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 telah menjadi topik hangat di kalangan peminat sepak serantau.
Sedang kita masih dibelenggu dengan masalah yang sama, negara jiran Indonesia tampak bergerak jauh ke hadapan berdasarkan kemajuan dan pencapaian yang dicapai oleh pasukan tersebut sejak kebelakangan ini.
Indonesia telah dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 yang akan diadakan pada tahun hadapan.
Pemilihan ini dilihat hasil daripada usaha tanpa henti yang dilakukan oleh pemimpin negara tersebut bagi meningkatkan kualiti sukan termasuk bola sepak di negara tersebut.
Bersempena dengan penganjuran Piala Dunia B-20 2023, mereka kini sedang giat mempertingkatkan mutu enam stadium utama yang akan dijadikan sebagai lokasi pertandingan pada tahun hadapan.
Keenam-enam stadium berjaya melepasi pemeriksaan yang dilakukan oleh delegasi FIFA yang telah berkampung di negara tersebut untuk memastikan segala persiapan berjalan dengan lancar.
Di samping itu, stadium gergasi terbaru Indonesia, Jakarta International Stadium (JIS) dilaporkan sudah siap dibina dan akan dilancarkan secara rasmi pada sehari dua ini.
Ini jelas menunjukkan keazaman negara tersebut dalam menjadi antara kuasa besar bola sepak antarabangsa dan perkara ini membuatkan Malaysia jauh ketinggalan.
Kemajuan prasarana ini turut memberi impak yang besar kepada prestasi semasa pasukan Garuda.
Seperti yang dapat kita lihat, peningkatan prestasi memberangsangkan telah ditunjukkan oleh pasukan kebangsaan mereka yang turut berjaya menarik perhatian beberapa pemain kacukan seperti Elkan Baggott yang beraksi di England bersama Ipswich Town.
Pencapaian di beberapa kejohanan sebelum ini ditambah dengan kemaraan ke Piala Asia 2023 jelas menunjukkan keinginan mereka untuk menjulang nama baik skuad Garuda di peringkat antarabangsa.
Lebih menyedihkan, Malaysia turut gagal mendapat tempat di peringkat rantau Asia kerana kali terkahir Malaysia dipilih selaku penganjur kejohanan adalah pada 14 tahun lalu di Piala Asia 2007 selaku tuan rumah bersama dengan tiga negara ASEAN yang lain, Thailand, Vietnam dan Indonesia.
Peminat bola sepak di Malaysia hanya mampu mencemburui kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh negara jiran dan terus berharap agar tindakan segera akan diambil oleh pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah ini.
Pada Piala Dunia B-20 1997, pasukan B-20 negara diletakkan bersama pasukan Uruguay, Maghribi dan Belgium.
Pasukan tersebut menghuni tangga terakhir kumpulan selepas gagal mengumpul sebarang mata pada tiga perlawanan.