Provokasi penyokong itu biasa, tetapi mental kami takkan terganggu – Safee Sali
Penyerang veteran KL City FC, Safee Sali mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak terganggu dengan provokasi yang berkemungkinan berlaku di luar padang pada perlawanan Piala AFC 2022 menentang PSM Makassar.
Menurut Safee, perlawanan melibatkan Malaysia dan Indonesia sama ada di peringkat kelab mahupun pasukan kebangsaan sememangnya sentiasa panas dengan pelbagai insiden terutamanya melibatkan penyokong, tetapi mahu rakan-rakan fokus sepenuhnya terhadap perlawanan.
“Provokasi memang biasa terjadi terutamanya sebelum perlawanan tetapi dalam perlawanan saya percaya apa yang terjadi tidak akan mengganggu minda para pemain.
Apa yang berlaku dalam padang akan menentukan nasib pasukan jadi kami turun esok untuk membantu pasukan mencatatkan kemenangan bagi mencerahkan peluang untuk ke peringkat seterusnya,”
katanya.
Jelas Safee lagi, beliau faham perseteruan antara kedua-dua negara dan sudah menasihati rakan sepasukan supaya bersedia dari segi mental dan fizikal.
Sementara itu, Safee berkata KL City mahu menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk menang dalam kedua-dua perlawanan.
“Kami semua memang tak nak kalah apabila bermain di laman sendiri jadi kami harus menang pada kedua-dua perlawanan ini.”
Tambahnya lagi, persiapan pasukan berada dalam keadaan baik dan pemain sudah menjangkakan perlawanan berintensiti tinggi pada kejohanan tersebut.
The City Boys akan turun menentang PSM Makassar Jumaat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.