Ke mana dana RM20 juta untuk mantapkan Melaka United?

5,908

Melaka United dan masalah gaji berpisah tiada! Itulah yang berlaku pada pasukan Melaka apabila mereka sehingga kini masih dibelenggu dengan masalah gaji.

Situasi ini merungkai teka-teki tentang perpindahan keluar beberapa pemain bintang pasukan Melaka United sejurus jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka.   


Penghijrahan pemain berkualiti seperti Akmal Zahir ke pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC sebelum ini turut mendapat perhatian dari bekas pemain pasukan, Razman Roslan yang pernah berhadapan masalah yang sama.

Umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ seorang lagi tonggak utama skuad Hang Tuah iaitu Sony Norde menjadi pemain terbaru yang membuat keputusan meninggalkan pasukan.

Pemergian Norde jelas memperlihatkan ada masalah yang sedang berlaku dalam pasukan Melaka United dan ini menjadi punca utama pemain-pemain mengambil keputusan untuk ‘angkat kaki’ dan ia juga mencetuskan keresahan di kalangan penyokong mereka.

Jika masalah ini tidak diselesaikan dengan segera oleh pengurusan pasukan Melaka, maka lebih ramai lagi pemain akan ambil keputusan untuk cabut keluar.

Ketua jurulatih Melaka United, Asri Mohd. Ninggal turut mengakui bahawa pasukan bimbingan beliau sedang menghadapi masalah.

Yang menghairankan, ke mana hilangnya bajet RM20 juta yang telah diberi oleh pemilik Melaka United iaitu Datuk Seri Justin Lim untuk menghadapi musim 2022 ini?

Biarpun bajet pasukan itu besar pada musim ini, tetapi ia masih gagal untuk membebaskan pasukan itu dari masalah tunggakan gaji.

Melaka United merupakan antara pasukan yang sering menerima tajaan besar tetapi setiap musim masalah sama kembali berulang.

Gaji pemain yang terlalu tinggi dipercayai menjadi salah satu faktor pasukan itu berhadapan masalah kewangan.

Pihak pengurusan Melaka United perlu mencontohi pendekatan yang dilakukan oleh pengurusan Petaling Jaya City FC yang berjaya mengharungi musim tanpa sebarang isu tunggakan gaji meskipun hanya memperoleh RM8 juta sahaja untuk dibelanjakan semusim.

Lebih mengejutkan ramai apabila prestasi yang dipamerkan oleh pasukan PJ City sejak berapa musim ini ternyata lebih baik jika hendak dibandingkan dengan skuad Melaka United yang berbelanja lebih besar pada awal musim.

Malah, PJ City merupakan satu-satunya kelab Liga Super yang dibarisi 100 peratus oleh pemain tempatan dan mereka terkenal dengan slogan #Yakinilokal.

Percaturan yang dilakukan PJ City untuk menggunakan pemain tempatan sahaja membuahkan hasil apabila mereka berjaya melahirkan beberapa pemain untuk Harimau Malaya seperti V. Ruventhiran, Darren Lok dan juga Kogileswaran Raj.

Baru-baru ini dua pemain mereka iaitu Darren dan Ruventhiran merupakan pemain yang berjaya membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2023 secara merit.

Berbeza pula dengan Melaka United yang sehingga kini masih lagi bergelut dalam saingan liga selain tidak konsisten.

Diharap masalah tunggakan gaji ini dapat diselesaikan dengan segera agar saingan Liga Malaysia tidak dicemari dengan masalah sama seperti tiada kesudahan dan menjadi ‘parasit’ yang merosakkan industri bola sepak tempatan.

Setiap pasukan perlu bersikap realistik dan ‘mengukur baju di badan sendiri’ sebelum berbelanja dan bukannya mengikut nafsu yang akhirnya memakan diri.