Mampukah tiga import baru ini bantu kembalikan zaman kegemilangan Perak FC?
Perak FC telah sah mengikat tiga pemain import baharu bagi mengharungi baki sembilan perlawanan saingan Liga Perdana untuk musim ini.
Tiga permain iaitu Stipe Plazibat (Croatia), Sunday Kolawole Afolabi (Nigeria) dan Luciano Guaycochea (Argentina) menjadi sandaran buat skuad The Bos Gaurus.
Kemasukan pemain dari tiga negara ini bukannya sesuatu yang baru kerana sebelum ini Perak pernah membawa masuk pemain-pemain dari negara yang sama.
Dari tahun 2004 hingga 2007, pasukan itu pernah membawa masuk dua orang pemain dari Croatia iaitu Vedran Kukoc dan Jasco Farac serta dua pemain Argentina, Luciano Goux dan Ricardo Adrian Silva.
Ketika era itu, keempat-empat pemain ini pernah membantu Perak untuk layak ke Piala AFC sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2004 dan 2005.
Pada tahun 2004 Perak berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir, bagaimanapun pada edisi 2005 mereka gagal mengulangi kejayaan pada tahun sebelumnya apabila menduduki tangga tercorot Kumpulan D.
Ketika itu mereka juga berjaya membantu Perak untuk muncul juara Piala FA pada tahun 2004 serta Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2005 dan 2006.
Selain pemain dari Croatia dan Argentina, Perak juga pernah membawa masuk pemain dari Nigeria iaitu Abdulafees Abdulsalam pada 2012 hingga 2014 yang mana beliau telah menjaringkan 21 gol dari 33 penampilan.
Jadi persoalan yang timbul di kalangan penyokong Perak ketika ini adalah apakah dengan kemasukan tiga pemain import baru ini akan memberi impak besar buat pasukan?
Adakah mereka akan mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Perak seperti satu ketika dahulu?
Plazibat ketika bersama Lion City Sailors telah menjadi salah seorang penyerang yang cukup berbisa apabila berjaya menjaringkan gol 23 gol dalam 25 penampilannya pada musim 2021 sekaligus muncul sebagai pemenang kasut emas Liga Premier Singapura.
Dua permain import yang akan ditempatkan di posisi tengah, Guaycochea adalah bekas pemain kelab divisyen 2 Deportivo, Argentina manakala Afolabi adalah pemain muda berusia 22 tahun dari kelab FK Viktoria Zizkov B, Nigeria.
Guaycochea yang membuat lima kali penampilan dan menjaringkan satu gol bersama kelab lamanya pasti ingin menampilkan aksi terbaik beliau bersama pasukan barunya ini.
Manakala Afolabi pula walaupun tanpa sebarang jaringan dikelab lamanya, sudah tentu dia tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi ini.
Kali terakhir Perak menjuarai Piala Malaysia adalah pada tahun 2018 sebelum jatuh ke Liga Perdana pada musim ini kerana pelbagai masalah dalaman pasukan.
Menduduki ditangga ke-10 dengan hanya dua kemenangan sahaja sepanjang Liga Perdana berlangsung sudah pasti memberi tekanan buat pasukan Perak untuk mengharungi baki saingan liga.
Mereka bagaimanapun berharap dengan kemasukan pemain baru ini dapat mengubah nasib mereka sekaligus mencapai sasaran untuk berada dalam top-5 Liga Perdana pada hujung musim ini.
Ketua jurulatih Yusri Che Lah dilapor akan membawa ketiga-tiga pemain import itu pada perlawanan menentang Kelantan United pada Sabtu ini.
Penyokong sudah pasti mahu melihat kesemua pemain baru untuk turun beraksi berikutan sebelum ini mereka terpaksa menurunkan pemain yang sama sahaja berikutan tidak dibenarkan menandatangani pemain baru.
Mampukah Perak mengubah nasib mereka? Sama-sama kita tunggu.