Kenapa AFC ubah jadual kami? Macam kebetulan pula ibu pejabat mereka di KL – Ketua jurulatih PSM Makassar
Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares mempersoal tindakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengubah jadual perlawanan pasukannya sehingga menyebabkan para pemainnya tidak mendapat rehat yang cukup.
Menurut Tavares, ketika AFC pertama kali mengeluarkan jadual pada bulan April, PSM Makassar sepatutnya beraksi pada 24 Jun menentang KL City FC dan 30 Jun menentang Tampines Rovers, tetapi perlawanan kedua itu kemudian diubah kepada 27 Jun tanpa sebarang penjelasan.
“Kami baru sahaja selesai pertandingan Piala Presiden pada 19 Jun lalu dan terbang ke sini malam itu dengan pemain yang tidak mendapat rehat yang cukup.
Bagi saya AFC tak boleh tukar sewenang-wenangnya seperti itu tanpa memberi alasan kukuh dan ia seperti satu kebetulan pula apabila ibu pejabat AFC terletak di Kuala Lumpur, jadi ia tidak baik untuk imej mereka,”
katanya.
Tambahnya lagi, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dalam kejohanan besar seperti ini dan berharap perkara ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.
Beliau juga berkata KL City sepatutnya tidak memerlukan rehat yang panjang sehingga enam hari memandangkan pasukan itu adalah tuan rumah dan tidak perlu melakukan perjalanan jauh seperti dua pasukan lain.
Jelas Tavares, perubahan itu memberi kesan terhadap persiapan pasukannya memandangkan pemain tidak mempunyai rehat, masa untuk pulih dan latihan secukupnya.
“Lain kali jika anda buat jadual, anda harus menghormati jadual tersebut. Jika anda mahukan perlawanan yang hebat, tolonglah beri pemain rehat yang mencukupi.”
Mengenai perlawanan pertama menentang KL City, beliau menjangkakan satu perlawanan sengit berikutan pasukannya akan berdepan sebuah pasukan yang hebat yang dibarisi oleh pemain import dan tempatan yang bagus.
Tavares bagaimanapun enggan mengangkat ‘bendera putih’ awal, sebaliknya percaya skuadnya yang dibarisi ramai pemain muda dan baru mampu mencipta kejutan pada perlawanan itu nanti.