PSM Makassar kini tak sama seperti dulu, kami tak gentar lawan KL City FC – Rasyid Bakri
Pemain tengah PSM Makassar, Rasyid Bakri percaya pasukan itu telah mengalami peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan kemasukan ramai pemain baru.
Beliau berkata tahun ini kelab itu telah diperkuatkan oleh ramai pemain muda berbakat dari akademi dan juga beberapa pemain dari luar.
“Tahun ini saya rasa pasukan kami lebih kuat dari tahun-tahun sebelumnya kerana ramai pemain berbakat telah menyertai kami.
Pemain dari era Bojan Hodak hanya tinggal lima orang sahaja jadi boleh dikatakan kami mengalami banyak perubahan,”
katanya.
Sementara itu, beliau mengakui berasa teruja dapat bertemu kembali Bojan pada saingan Piala AFC 2022 tetapi akan melupakan seketika hubungan mereka apabila beraksi di atas padang.
Menurutnya semua pemain yang pernah bersama jurulatih Croatia itu tekad mahu menampilkan permainan yang baik kepada bekas jurulatih mereka.
Dalam pada itu, Rasyid berkata para pemain akan mempamerkan aksi terbaik menentang KL City untuk membanggakan bukan sahaja penyokong kelab itu, tetapi juga rakyat Indonesia.
“Kami tahu KL City adalah tuan rumah tetapi tidak gentar untuk turun menentang mereka.
Kami datang jauh dari Pulau Sulawesi jadi sudah tentu kami akan berusaha sebaik mungkin membawa nama Indonesia.”
Perlawanan antara PSM Makassar dan KL City akan berlangsung Jumaat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.