Ketika pasukan lain rancak berbelanja, Kelantan United tenang kekal dengan skuad sedia ada

1,461

Jendela perpindahan kedua Liga Malaysia akan ditutup pada pukul 12.00am tengah malam ini membuatkan banyak pasukan dalam situasi kelam-kabut untuk menandatangani pemain baru sebelum tarikh tamat.

Bagaimanapun berbeza pula dengan pasukan Kelantan United yang tidak membuat sebarang perpindahan langsung dan mengekalkan skuad sedia ada bagi mengharungi baki saingan Liga Perdana musim ini.


Antara faktor utama Kelantan United tidak berbelanja pada jendela perpindahan ini adalah untuk tidak mahu menambah hutang terutamanya sekiranya mereka mengambil pemain bintang bagi memperkuatkan pasukan.

Kelantan United ketika ini boleh dijadikan contoh oleh pasukan lain kerana sehingga kini mereka bebas dari sebarang masalah terutamanya masalah gaji, oleh itu mereka mahu terus kekal ‘bersih’.

Selain itu mereka juga lebih memilih untuk menjaga dan meningkatkan kualiti pemain-pemain sedia ada memandangkan prestasi mereka kini berada dalam tahap yang memuaskan.

Mereka juga mungkin tidak mahu membawa masuk pemain berstatus bintang kerana tidak mahu suasana pasukan yang harmoni bertukar menjadi sebaliknya.

Ketika ini Kelantan United berada di kedudukan kelima di Liga Perdana selepas sembilan perlawanan dengan empat menang, tiga seri dan hanya dua kekalahan.

Jika mereka dapat mengekalkan prestasi mereka cemerlang tidak mustahil mereka mampu layak ke saingan Liga Super pada musim hadapan.

Kebarangkalian untuk pasukan Kelantan United layak ke Liga Super sangat cerah kerana pasukan yang berada di kedudukan kedua dan ketiga adalah feeder club iaitu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Terengganu II (TFC II), oleh itu mereka tidak akan layak naik liga walaupun jadi juara.

Halangan mereka ketika ini hanyalah Kuching City FC yang kini berada di kedudukan keempat dengan perbezaan dua mata sahaja.

Sekiranya mereka berjaya naik ke Liga Super pada musim hadapan, ia akan mencipta sejarah baru apabila dua pasukan dari negeri yang sama layak ke saingan liga tertinggi Malaysia iaitu Kelantan United dan Kelantan FC.

Kelantan yang dimiliki Zamsaham kini berada di puncak liga dengan 22 mata dan menjadi pilihan utama untuk naik ke Liga Super pada musim hadapan.

Sesuatu yang boleh dibanggakan dan boleh dijadikan contoh kepada pasukan lain termasuk pasukan di Liga Super untuk mengikut cara kedua-dua kelab ini menguruskan pasukan bola sepak secara profesional dan telus.

Dalam saingan Liga Super, PJ City FC turut boleh dijadikan sebagai pasukan contoh kerana sehingga kini mereka tidak pernah berdepan dengan masalah gaji seperti pasukan lain kerana mereka mengambil pendekatan berbelanja mengikut kemampuan atau ‘ukur baju di badan sendiri’.

Lebih mengagumkan apabila mereka berpegang kepada moto #Yakinilokal dan menjadi satu-satunya pasukan di Liga Super menggunakan 100 peratus pemain tempatan.

Mereka bukan sahaja mampu bersaing dengan pasukan-pasukan besar lain, tetapi mereka juga berjaya melahirkan beberapa pemain kebangsaan.

Berbeza pula dengan pasukan Melaka United yang mempunyai bajet puluhan juta untuk mengharungi Liga Super pada musim ini tetapi kini dikatakan mempunyai masalah gaji susulan beberapa pemain utama meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan kedua ini.