KLFA adakan mesyuarat tergempar hari ini untuk tentukan kedudukan seorang individu
Di sebalik keterujaan peminat bola sepak untuk menyaksikan perlawanan Piala AFC 2022 membabitkan KL City FC menentang PSM Makassar pada malam ini, timbul pula satu isu penting yang akan berlaku pada hari yang sama.
Satu sumber telah memberitahu Harimau Malaya bahawa Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dijangka akan mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi membincang dan menentukan kedudukan seorang individu dalam persatuan tersebut.
Sumber itu bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai mesyuarat tergempar itu dan siapakah individu yang dimaksudkan itu.
Bagaimanapun bagi peminat terutamanya peminat The City Boys sudah pasti sedia maklum dengan kemelut yang berlaku dalam KLFA sebelum ini yang pernah menjadi isu hangat.
Isu tersebut kemudian perlahan-lahan reda dan akhirnya senyap tanpa khabar berita sehinggalah ke hari ini apabila dikatakan KLFA akan mengadakan mesyuarat tergempar.
Siapakah individu yang dimaksudkan? Adakah mesyuarat tergempar ini akan membawa perubahan positif buat bola sepak Kuala Lumpur? Sama-sama kita nantikan perkembangan terbaru dari semasa ke semasa.