Tak adil buat Ng Tze Yong terpaksa tanggung beban dan tekanan di Sukan Komanwel Birmingham
Beberapa hari ini kecoh dalam kalangan peminat sukan badminton apabila pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia membuat keputusan untuk menarik diri daripada temasya Sukan Komanwel yang akan berlangsung bermula 28 Julai ini.
Alasan yang diberikan Zii Jia adalah kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Tokyo pada Ogos depan.
Keputusan itu sekaligus menjadikan pemain muda, Ng Tze Yong sebagai sandaran negara untuk memenangi pingat emas di Sukan Komanwel.
Dengan usia yang muda selain tidak berada dalam kedudukan ranking top-10 dunia, ia akan menjadi beban berat buat Tze Yong untuk menggalas tanggungjawab sebesar ini di Birmingham nanti.
Perkara yang dibimbangi adalah pemain berusia 22 tahun ini tidak dapat mempamerkan aksi cemerlang berikutan tertekan apabila ramai meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk beliau meraih pingat.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata walaupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak meletakkan sasaran mencapai dua pingat emas daripada skuad negara, tetapi masih berharap Tze Yong dapat membuat kejutan dalam penampilan pertamanya di Sukan Komanwel.
Untuk rekod, Tze Yong kini berada pada kedudukan ranking ke-48 dunia, manakala Zii Jia pula berada di kedudukan ke-5 dunia dan ini jelas memperlihatkan Zii Jia mempunyai peluang yang sangat cerah untuk meraih pingat emas sekiranya beliau tidak menarik diri.
Keputusan itu bukan sahaja mengejut peminat tetapi juga legenda badminton negara Datuk Wira Lee Chong Wei yang tidak menafikan Kejohanan Dunia sememangnya penting untuk karier seseorang pemain, tetapi Sukan Komanwel jauh lebih pentingnya untuk negara.
Sepanjang karier Chong Wei sebagai pemain badminton, beliau tidak pernah menolak untuk bersaing di Sukan Komanwel, malah beliau menyumbang tiga emas sejak tahun 2006.
BAM tidak dapat berbuat apa-apa dengan keputusan Zii Jia kerana beliau kini merupakan pemain profesional dan bukan lagi pemain di bawah naungan mereka.
Tidak dapat dinafikan BAM kini dalam dilema apabila mereka berdepan kekangan daripada pemain profesional yang bersikap selektif terhadap kejohanan yang mereka ingin sertai.
BAM perlu melakukan sesuatu untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mana sekurang-kurangnya Malaysia harus mempunyai lima atau enam pemain dalam ranking top-20 dunia.
Dengan situasi yang berlaku ketika ini, persoalan yang timbul adakah BAM menyesal menarik balik sekatan terhadap Zii Jia untuk sertai sebarang kejohanan dalam tempoh dua tahun yang dikenakan ketika beliau mengumumkan perletakkan jawatan dari BAM sebelum ini?
Mampukah Zii Jia memberi jaminan bahawa beliau akan merangkul gelaran Kejohanan Badminton Dunia Ogos nanti kerana keputusan yang menghampakan ini? Sama-sama kita tunggu.