Jangan peram imbuhan dari AFC, bawa pasukan besar uji kemampuan skuad negara

228

Ketua jurulatih pasukan Indonesia, Shin Tae-yong telah membuat permintaan kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk mengatur perlawanan dengan lawan di ranking yang lebih tinggi pada kalendar perlawanan antarabangsa September ini.

Tae-yong melihat lawan yang berada di ranking ke 50-100 sebagai pilihan yang tepat bagi membantu persiapan pasukan Garuda menjelang pusingan akhir Piala Asia 2023.


Indonesia yang kini berada di ranking 155 dunia telah banyak melakukan pembaharuan bagi meningkatkan kualiti bola sepak negara tersebut.

Perkara yang sama perlu dicontohi oleh pasukan negara untuk mengelak dari ketinggalan jauh di belakang negara jiran tersebut.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum boleh mendabik dada meskipun pasukan kebangsaan telah disenaraikan antara empat pasukan yang berjaya mendapat kenaikan ranking tertinggi oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.

Instagram @fifaworldcup

Badan induk bola sepak tersebut perlu mula membuat perancangan segera untuk menjemput lawan-lawan yang berada di ranking yang lebih tinggi.

FAM perlu menggunakan wang imbuhan sebanyak RM880,000 yang telah diberikan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada pasukan yang berjaya layak ke Piala Asia untuk menjemput beberapa lawan yang lebih kuat.

Pasukan di ranking ke-103 dunia dari rantau Oceania, New Zealand patut dipertimbangkan.

Ini kerana pasukan yang diberi gelaran All Whites itu mempunyai beberapa orang pemain yang beraksi di liga utama dunia seperti ketua pasukan, Winston Reid yang pernah beraksi bersama West Ham United dan Chris Wood yang kini bersama Newcastle United di Liga Perdana Inggeris.

Ini akan menjadikan pasukan tersebut lawan yang amat sesuai untuk menguji kredibiliti yang dimiliki oleh setiap pemain yang dipilih untuk menyarung jersi negara.

Pasukan tersebut sebelum ini tewas di pusingan play-off Piala Dunia 2022 kepada wakil CONCACAF, Costa Rica.

Selain itu, pasukan Eropah seperti Georgia, Armenia dan Belarus yang berada di ranking seratus teratas juga boleh menjadi pilihan untuk menguji kemampuan pasukan negara.

Pada masa yang sama, wang imbuhan tersebut boleh juga digunakan untuk menjemput pasukan-pasukan ini sekiranya kejohanan Pestabola Merdeka kembali diadakan.

Penyertaan pasukan seperti ini akan menjadikan kejohanan tersebut sebagai medan persiapan terbaik untuk skuad negara menjelang pusingan akhir Piala Asia.

Sebelum ini, Pestabola Merdeka yang dianjurkan secara tahunan oleh FAM pernah mendapat perhatian dari pasukan-pasukan besar seperti Argentina dan Korea Selatan yang pernah menjuarai kejohanan ini.

Pasukan New Zealand juga pernah menjuarai Pestabola Merdeka pada tahun 2000 selepas menewaskan pasukan negara di perlawanan akhir dengan jaringan 2-0.