Pemain Thailand dinilai tinggi di luar negara, bakat Malaysia pula dipandang rendah

2,639

Pemain kebangsaan Thailand, Supachok Sarachat baru-baru ini mengikut jejak rakan senegaranya, Chanathip Songkrasin menyertai kelab J League, Hokkaido Consadole Sapporo secara pinjaman sehingga tamat musim.

Beliau menjadi pemain Thailand kedua yang beraksi di J League musim ini selain Chanatip yang kini bersama penyandang juara liga, Kawasaki Frontale.


Perpindahan itu pastinya satu kebanggaan buat bola sepak Thailand dan menunjukkan peningkatan kualiti pemain-pemain dari negara itu.

Selain itu adik Supachok, Suphanat Mueanta juga dilaporkan akan turut menyertai kelab sama sepertinya.

Kehadiran pemain mereka ke kelab luar negara juga bukanlah sekadar menjadi pemanas bangku simpanan, tetapi menjadi salah satu tonggak penting.

Lihat saja Chanatip yang merupakan salah seorang pemain utama Hokkaido Consadole Sapporo ketika beraksi bersama kelab itu.

Chanatip juga menjadi pemain yang berjaya memecahkan rekod perpindahan domestik liga itu dengan harga $3.8 juta (RM16.7 juta).

Ini menunjukkan betapa tingginya pemain-pemain Thailand dinilai oleh pasukan luar negara.

Selain itu, kelab yang disertai mereka juga beraksi dalam liga utama dan bukan bawahan.

Ini berbeza dengan pemain muda negara, Hadi Fayyadh yang ketika ini berada di kelab Liga J3, Azul Claro Numazu.

Sejak mula berhijrah ke Jepun pada 2019 bersama kelab J2 League, Fagiano Okayama, beliau hanya mencatatkan satu penampilan, itu pun masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-84.

Perkara sama juga dapat dilihat pada seorang lagi pemain muda negara, Luqman Hakim yang beraksi di kelab Belgium, KV Kortrijk yang juga hanya berjaya mencatatkan satu penampilan di bangku simpanan.

Ini seakan-akan memberi bayangan betapa ketinggalannya bakat-bakat negara berbanding negara jiran.

Apakah yang menyebabkan pemain kita tidak dipandang oleh kelab-kelab di liga utama di luar negara?