Kalau anda tonton perlawanan ini, anda faham kenapa kami bawa masuk penyerang baru – Bojan Hodak

3,702

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak mengakui ketumpulan barisan serangannya menjadi punca beliau membawa masuk penyerang baru pada jendela perpindahan kedua.

Beliau berkata perkara itu dapat dilihat pada perlawanan pertama Piala AFC 2022 menentang PSM Makassar yang berkesudahan 0-0 sebentar tadi.


“Jika anda tonton perlawanan malam ini, anda faham kenapa kami membawa masuk penyerang baru.

Kami bertahan dengan baik, kami tidak melepaskan sebarang gol, tetapi ketumpulan di bahagian hadapan membuatkan kami kecewa tidak menang,”

katanya.

Beliau merujuk kepada pemain Terengganu FC II, Jordan Mintah yang dilaporkan sudah menandatangani kontrak pinjaman sehingga akhir musim bersama kelab itu.

Pada perlawanan pertama Kumpulan H tadi, Mintah turut kelihatan di kawasan tempat duduk penonton.

KL City mensia-siakan banyak peluang dengan beberapa percubaan terkena palang pasukan lawan.

Hodak bagaimanapun tetap percaya pasukannya masih mampu layak ke peringkat seterusnya walaupun keciciran mata pada perlawanan pertama.

“Bagi saya kumpulan ini masih lagi terbuka, Tampines Rovers juga adalah satu pasukan yang hebat dan saya rasa ini akan menjadi satu persaingan yang menarik buat penyokong.”

Dalam pada itu, beliau turut memberi pujian kepada PSM Makassar kerana menampilkan persembahan yang baik dan menyukarkan anak buahnya menampilkan taktikal yang telah beliau terapkan.