Keputusan seri hari ini adil untuk kedua-dua pasukan – Rasyid Bakri

233

Pemain tengah PSM Makassar, Rasyid Bakri mengakui berhadapan saingan yang cukup sengit ketika menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada perlawanan pertama Piala AFC 2022 malam tadi.

“Perlawanan yang sengit, kedua-dua pasukan ingin meraih kemenangan tetapi seri merupakan keputusan yang adil buat kedua-dua pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pemain berusia 31 tahun tersebut berjaya mengatur pergerakan di bahagian tengah pasukan dari Indonesia tersebut dan berjaya menghasilkan beberapa lorongan merbahaya ke arah gawang KL City FC.


Tempoh rehat dua hari akan perlu digunakan sebaiknya oleh kesemua pemain pasukan PSM Makassar untuk menyiapkan diri sebelum perlawanan seterusnya.

“Kita perlu recovery cepat untuk menentang Tampines, kita jauh-jauh dari Makassar ke Malaysia ingin hadiahkan sesuatu kepada penyokong kami.

Sebagai pemain profesional kita perlu akur kepada segala faktor dan cuba untuk recover segera.”

Kehadiran penyokong Indonesia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada perlawanan tadi nyata menyemarakkan semangat pemain-pemain PSM Makassar untuk mempamerkan persembahan bertenaga.

“Terima kasih banyak untuk penyokong PSM Makassar, minta maaf kami belum mampu hadiahkan kemenangan.

Semoga kami mampu raih kemenangan pada perlawanan kedua menentang Tampines Rovers.”

PSM Makassar dilihat tampil mempamerkan corak serangan yang lebih bertenaga di separuh masa kedua.

Dalam pada itu, strategi ketua jurulatih Bernardo Tavares menggunakan kelebihan pemain muda membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengekang asakan bertali arus daripada pemain KL City sekaligus menggagalkan usaha pihak lawan untuk raih tiga mata.

PSM Makassar perlu menang pada perlawanan menentang Tampines Rovers pada perlawanan terakhir untuk menghidupkan peluang mereka layak ke pusingan seterusnya.