Saya belum cukup berpuas hati dengan prestasi saya – Zhafri Yahya
Pemain tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Zhafri Yahya berjaya mempamerkan aksi bertenaga untuk mengemudi bahagian tengah pasukan tersebut pada perlawanan pertama Kumpulan H Piala AFC 2022 menentang PSM Makassar malam tadi.
Beliau yang sebelum ini pernah dipanggil untuk menyertai kem latihan pasukan kebangsaan merupakan antara pemain penting yang dipertaruhkan oleh pasukan KL City pada kejohanan Piala AFC kali ini.
“Bagi saya tiada tekanan, saya perlu tunjukkan aksi yang konsisten dan saya belum berpuas hati dengan prestasi semasa saya.
Saya akan perbaiki apa yang saya perlu perbaiki, saya sentiasa ingin perbetulkan sebarang kekurangan,”
katanya.
Percubaan demi percubaan telah dilakukan oleh pasukan KL City sepanjang 90 minit permainan, namun gagal menembusi gawang PSM Makassar.
“Saya merasakan kita betul-betul tidak bernasib baik meskipun bahagian serangan dan pertahanan berjaya mempamerkan aksi yang terbaik.”
Peluang terbaik pasukan The City Boys hadir menerusi percubaan yang dilakukan oleh penyerang, Kevin Koubemba namun berjaya ditepis oleh penjaga gol pasukan lawan.
Meskipun berjaya menunjukkan aksi yang bertenaga, pasukan KL City harus segera menganalisis kekurangan yang dimiliki oleh pasukan mereka menjelang aksi terakhir menentang Tampines Rovers.
“Kita tidak akan mengalah, kita akan pastikan kemenangan milik pasukan pada perlawanan kedua menentang Tampines Rovers.”
Ketua jurulatih, Bojan Hodak perlu merujuk perlawanan seterusnya di antara PSM Makassar dan Tampines Rovers untuk memastikan anak buahnya dapat memperagakan aksi terbaik di perlawanan terakhir.
“Bagi saya kita ada kelebihan kerana kita akan berehat panjang dan dapat melihat perlawanan pasukan lawan kita terlebih dahulu.”
Zhafri merupakan antara penjaring terbanyak pasukan KL City bagi saingan Liga Super musim ini selepas lapan perlawanan.