Bukan sahaja lawan perkauman, Selangor FC juga patut didik penyokong jadi lebih ‘bertamadun’

11,076

Mungkin masih ramai lagi yang ingat insiden yang berlaku selepas perlawanan Liga Super antara Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC awal musim ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pemain Selangor yang menang besar 4-1 dimarahi oleh sekumpulan penyokong yang tidak berpuas hati kerana pasukan itu melepaskan banyak gol pada musim ini, melebihi jangkaan mereka.


Perkara itu menjadi tular di internet sehingga dikecam oleh kebanyakan pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan penyokong Selangor itu.

Selangor baru-baru ini menyokong kempen Malaysian Football League (MFL) dalam kempen mereka untuk menentang perkauman.

Ia adalah satu perkara yang harus dipuji dan disokong memandangkan liga di negara ini mempunyai ramai pemain berbilang bangsa dan dari banyak negara luar.

Mungkin juga kelab itu boleh mengambil inspirasi daripada usaha Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Pemain Profesional Antarabangsa (FIFPro) dalam membanteras kata-kata berunsur kebencian terhadap pemain.

FIFA dan FIFPro baru-baru ini melancarkan satu inisiatif untuk menyekat komen-komen berunsur kebencian yang ditinggalkan di laman sosial bagi ‘melindungi’ dunia bola sepak.

Kempen seperti adalah amat baik kerana ia bukan sahaja boleh melindungi pemain daripada diserang dengan kata-kata kesat dan buli tetapi mendidik penyokong untuk menjadi lebih ‘bertamadun’.

Perbuatan memaki para pemain dan menyerang dengan kata-kata kesat amat tidak wajar kerana ia boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental.

Tidak salah untuk mengkritik tetapi berilah kritikan yang membina dengan bahasa yang sesuai, bukan kata-kata kesat.

Kritikan yang membina pastinya lebih berkesan untuk meningkatkan semangat pemain memberikan aksi yang lebih baik pada masa akan datang.

Apabila dikritik para pemain juga harus menunjukkan usaha mereka untuk menampilkan aksi yang lebih baik untuk menutup mulut penyokong.

Jika Selangor memulakan inisiatif ini, ia mungkin boleh menjadi satu contoh yang boleh diikuti oleh kelab-kelab lain sekaligus menjadikan arena bola sepak tempatan semakin sihat dan matang.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen