Pencapaian dua beradik Fandi jadi inspirasi untuk saya terus tingkatkan prestasi – Taufik Suparno
Pemain sayap Tampines Rovers FC, Taufik Suparno akan menggunakan pengalaman berlatih bersama pemain muda Singapura iaitu Irfan Fandi, Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi yang beraksi di luar negara sebagai dorongan kepada beliau untuk beraksi dengan lebih baik.
“Walaupun adik beradik Fandi jauh lebih muda dari saya, tetapi saya tetap terinspirasi melihat pencapaian mereka bermain di luar negara dan kembali ke Singapura untuk berkongsi ilmu dan tips yang baru sepanjang bersama mereka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pemain berusia 26 tahun itu memandang pasukan lawannya, PSM Makassar sebagai sebuah skuad yang kuat selepas menyaksikan aksi pertama Kumpulan H Piala AFC 2022 yang berakhir tanpa jaringan.
“Sebenarnya kedua-dua pasukan bukan sahaja bertahan dengan bagus, tetapi mereka agresif dan sangat berdisiplin ketika menyerang dan bertahan bersama-sama.
Kami telah jangkakan perkara tersebut, kami dah berlatih dengan baik dan bersedia dengan lebih terperinci untuk menghadapi perkara tersebut untuk bermain baik dan menjaringkan gol ketika menentang mereka.”
Pasukan yang kini berada di tangga ke-4 Singapore Premier League itu dianggap antara pencabar terkuat kumpulan ini berdasarkan pencapaian semasa mereka musim ini.
Mereka telah melakukan persediaan yang cukup rapi sebelum melangkah ke saingan Piala AFC 2022 kali ini.
Pada masa yang sama, kemenangan pada perlawanan pertama akan menjadi pembakar semangat untuk kesemua pemain pasukan Tampines Rovers sebelum bertemu pasukan tuan rumah, KL City di perlawanan akhir kumpulan.
“Ia akan jadi permulaan yang baik untuk kami sekiranya menang pada perlawanan pertama dan kami dapat peroleh tiga mata serta menjaringkan sebanyak gol yang boleh.”
Taufik percaya pasukannya mempunyai peluang yang tinggi untuk mengatasi kedua-dua pasukan lawan dan layak ke pusingan seterusnya.
“Selepas melihat perlawanan semalam, keputusan seri antara mereka adalah petanda yang baik untuk kami.”
Taufik merupakan penjaring tempatan terbanyak untuk pasukan Tampines Rovers selepas dua pemain import, Boris Kopitovic dan Zehrudin Mehmedovic.