Kejayaan skuad senior jadi inspirasi skuad B-19 untuk teruskan kejayaan di Piala AFF nanti – Hassan Sazali
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-19, Hassan Sazali mengakui kejayaan yang dikecapi oleh skuad senior Harimau Malaya baru-baru ini layak ke Piala Asia 2023 menjadi inspirasi buat pemain-pemainnya untuk meneruskan kesinambungan kejayaan itu di pentas Piala AFF B-19 nanti.
“Kejayaan yang dikecapi oleh skuad utama menjadi insprasi bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada pemain-pemain saya untuk meneruskan kesinambungan kejayaan itu nanti,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Hassan yang dipilih untuk mengendalikan skuad B-19 negara sudah memilih seramai 26 pemain untuk kem latihan berpusat sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan Piala AFF B-19 yang akan berlangsung di Indonesia awal Julai ini.
Skuad B-19 memulakan latihan pertama mereka bermula hari ini (25 Jun) mempunyai tempoh dua minggu untuk membuat persiapan sebelum terbang ke Indonesia.
Menurut Hassan, daripada 26 pemain yang dipanggil beliau hanya akan memilih 23 pemain dalam senarai akhir.
“Saya pilih 26 pemain ini berdasarkan prestasi, minit permainan dan teknikal permainan yang ada pada setiap pemain. Tidak dapat dinafikan saya berdepan tugas yang sukar untuk memilih 23 pemain kerana tiada perbezaan ketara langsung di antara mereka.
Bagaimanapun saya tidak mencari pemain yang hanya boleh bermain di satu posisi sahaja, sebaliknya saya mahukan seorang pemain yang boleh main di mana-mana sahaja posisi.”
Beliau menetapkan kriteria berkenaan kerana beliau tidak mahu menggunakan pemain yang sama dalam setiap perlawanan sebaliknya mahu mengamalkan penggiliran pemain, oleh itu amat penting baginya setiap pemain yang ditukar akan mempamerkan prestasi yang sama dengan pemain yang ditukar.
Ini kerana beliau akan menerapkan taktikal permainan berintensiti tinggi sekaligus akan menuntut komitmen dan stamina daripada setiap pemain.
Tambah Hassan lagi, satu perlawanan persahabatan sudah diatur menentang UiTM FC tidak lama lagi dan berdasarkan perlawanan tersebut beliau dan barisan kejurulatihan akan membuat penilaian sekaligus memilih 23 pemain yang akan dibawa ke Indonesia.
Pada saingan Piala AFF B-19, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B yang mana skuad Harimau Muda akan menentang Laos, Timor-Leste, Komboja dan Singapura.
Dalam pada itu, Hassan yang ditanya mengenai sasaran untuk kejohanan ini berkata beliau tidak mempunyai sebarang sasaran kerana baginya beliau mahu memberi tumpuan pada satu perlawanan ke satu perlawanan lain.
Selain Piala AFF B-19, mereka juga akan menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Mongolia, September depan yang mana mereka telah diundi dalam Kumpulan E bersama Republik Korea, Mongolia dan Sri Lanka.