Saya percayakan semua pemain, penjaga gol pun ada peluang menjaringkan gol – Bernardo Tavares
Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares tetap optimis pemain-pemainnya mampu membantu pasukan untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Piala AFC 2022.
“Saya percayakan kemampuan kesemua pemain yang mewakili pasukan ini.
Untuk saya penjaga gol juga mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, saya melihat pasukan sebagai satu kumpulan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Penyerang baru pasukan, PSM Makassar gagal mempamerkan ketajaman apabila gagal menembusi gawang gol Kuala Lumpur (KL) City FC yang dikawal oleh penjaga gol muda negara, Azri Ghani.
Pengendali dari Portugal itu masih lagi tidak dapat menyembunyikan kekecewaan beliau terhadap jadual yang telah disusun oleh penganjur.
“Saya berasa sangat kecewa dengan jadual kejohahan yang telah diubah. Pasukan KL City mempunyai kelebihan yang cukup besar dari segi masa rehat yang panjang, mereka akan bertemu Tampines dua hari selepas pasukan Singapura itu menentang kami.
Tempoh rehat pendek yang diberikan kepada Pasukan PSM Makassar akan menjejaskan proses recovery untuk kesemua pemain selepas berhempas pulas pada perlawanan pertama.
Kini kami mempunyai cabaran yang besar untuk memastikan pemain dalam keadaan terbaik memandangkan kami akan bermain pada Isnin.”
Tambahan pula, pasukan lawan selepas ini Tampines Rovers FC akan dibarisi oleh beberapa orang pemain yang jauh lebih berpengalaman.
Meskipun dibarisi oleh pemain muda, PSM Makassar telah berjaya menampilkan aksi menyakinkan setelah berjaya mengikat juara Piala Malaysia 2021 pada perlawanan pembukaan Kumpulan H semalam.
“Saya rasa pasukan ini telah menunjukkan persembahan dan kesemua pemain berjaya untuk meningkatkan prestasi mereka.
“Pasukan ini hampir tersingkir dari Liga 1 musim lepas, kami kehilangan banyak pemain utama sehingga terpaksa mengambil pemain baru dari akademi dan Liga 2 dan dua daripada mereka beraksi pada perlawanan pertama.”
Aksi yang sama akan terus ditagih oleh Tavares untuk memastikan anak buahnya berjaya menempah slot ke pusingan seterusnya.
Namun beliau akan tetap berhati-hati dan tidak ingin mengambil risiko yang tinggi untuk mengelakkan lebih ramai pemainnya daripada cedera.
PSM Makassar akan melengkapkan jadual mereka di peringkat kumpulan Piala AFC 2022 pada 27 Jun ini menentang Tampines Rovers dari Singapura.