Pemilik Sri Pahang FC masih belum penuhi kehendak penyokong

2,247

Selepas insiden penyokong Selangor FC melontarkan kata kesat dan makian kepada pemain, pasukan Sri Pahang FC juga berdepan situasi sama apabila ketua jurulatih, Christophe Gamel dan pemain-pemainnya dimarahi penyokong sendiri selepas tumpas 3-0 di tangan Negeri Sembilan FC.

Susulan itu, kelab penyokong pasukan itu iaitu Elephant Army telah mengeluarkan satu kenyataan di Facebook rasmi milik mereka dengan memberikan beberapa poin yang dilihat logik tanpa melontarkan kata-kata kesat.


Antara poin yang menjadi tumpuan adalah mereka berasa amat kecewa dengan pemilik Sri Pahang yang tidak mempunyai passion dan visi untuk bola sepak, selain pasukan pengurusan yang tidak teratur menjadi punca kejatuhan pasukan itu.

Sumber foto: Elephant Army FB

Tidak dapat dinafikan sebelum ini penyokong berasa seakan-akan mendapat sinar harapan baru apabila dilaporkan Kerabat diraja Pahang akan mengambil alih pasukan yang mana mereka menjangkakan Sri Pahang akan menjadi pasukan yang lebih berjaya.

Bagaimanapun harapan mereka meleset apabila skuad Tok Gajah terus dibelenggu dengan prestasi hambar selain isu jurulatih dan pemain yang kerap bersilih ganti.

Pada masa sama Elephant Army turut menegaskan bahawa mereka tidak akan sesekali menerima alasan penat daripada pemain kerana pemain bola sepak dibayar untuk berlatih dan bermain bola sepak, oleh itu mereka menuntut setiap pemain beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan.

Ini kerana mereka sebagai penyokong telah memainkan peranan mereka sendiri iaitu sanggup mengeluarkan banyak wang demi melihat pasukan kesayangan turun beraksi.

Malah mereka juga berkata jangan sesekali mempersoalkan pengorbanan mereka ke stadium tak kira sedikit atau pun ramai.

Penyokong juga sudah bagi masa yang cukup untuk pasukan membuktikan kemampuan mereka tetapi sehingga kini masih tidak nampak sebarang perubahan.

Sementara itu, pemilik akaun Twt Bola Pahang turut sama membidas tweet seorang penyokong yang tidak bersetuju dengan insiden yang berlaku dan berkata jangan terkejut jika pemain akan ‘angkat kaki’ selepas ini.

Dalam respon Twt Bola Pahang, mereka secara sinis berkata hebat juga mereka sekiranya apa yang diperkatakan oleh mereka akan membuatkan tiada pemain yang mahu bermain dengan Sri Pahang selepas ini.

Dalam pada itu, salah seorang lagi penyokong Sri Pahang tampil mempersoalkan tindakan pengurusan pasukan yang kerap menukar pemain import dengan bertanyakan semada pasukan itu terlalu kaya atau pengurusan yang tidak tahu memilih pemain.

Malah beliau juga membuat senarai pemain import yang keluar dan masuk sejak dari tahun 2016.

Penyokong Sri Pahang sebenarnya tidak mendesak agar pasukan mereka akan menjadi juara Liga Super pada musim ini kerana mereka sedar dengan kemampuan pasukan mereka, tambahan pula pihak pengurusan sebelum ini hanya meletakkan sasaran untuk berada dalam Top 5 sahaja.

Bagaimanapun prestasi yang dipamerkan oleh pasukan dilihat tidak selari dengan sasaran apabila mereka kini berada di tangga kedua tercorot dengan hanya dua kemenangan dari 10 perlawanan.

Jadi pihak pengurusan perlu lakukan sesuatu dengan segera untuk menyelamatkan pasukan Sri Pahang dari terus terjerumus di bawah liga yang berkemungkinan besar akan menyebabkan perlu diturunkan ke Liga Perdana pada musim hadapan.

Pihak pengurusan juga tidak boleh menuding jari kepada penyokong sahaja sekiranya mereka meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap prestasi pasukan kerana mereka berhak berbuat demikian.

Setiap pengurusan pasukan bola sepak perlu ingat satu perkara iaitu tanpa penyokong, tiada pasukan bola sepak.