Piala AFF dan Piala OFC disatukan, setuju atau tidak?
Setelah sekian lama dianjurkan, rasanya seri kejohanan Piala AFF dilihat semakin membosankan dengan ramai yang sudah tahu pasukan mana yang akan mendominasi saingan tersebut.
Antara pasukan pilihan yang selalunya akan melepasi peringkat kumpulan adalah seperti Thailand, Vietnam, Singapura, Indonesia dan Malaysia.
Kelima-lima pasukan ini antara pasukan pilihan tetapi pada edisi terakhir, Malaysia tersingkir awal selepas mempamerkan aksi hambar.
Bagaimanapun ada penyokong yang memberi cadangan yang cukup menarik yang mana ia berkemungkinan akan menjadikan kejohanan sedia ada lebih menarik dan lebih berprestij iaitu menggabungkan Piala AFF dan Piala OFC (Oceania).
Ketika ini sebanyak 11 pasukan yang bersaing di saingan Piala AFF, manakala Piala OFC pula mempunyai 13 pasukan.
Australia yang sebelum ini bernaung di bawah Oceania Football Federation (OFC) telah keluar dari persekutuan itu pada tahun 2006 untuk menyertai Asia Football Federation (AFC) tetapi sehingga kini skuad senior mereka masih belum pernah sertai kejohanan Piala AFF.
Dengan 12 pasukan (termasuk Australia) di Piala AFF dan dicampur dengan 13 pasukan dari Piala OFC, kedua-dua kejohanan itu boleh digabungkan menjadi satu kejohanan dengan hanya 20 pasukan terbaik sahaja layak bermain.
Kejohanan ini boleh dianjurkan secara dwi tahunan dengan 20 pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai lima pasukan.
Juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke suku akhir dan mereka akan bersaing untuk mara ke peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir.
Sekiranya kejohanan ini dapat direalisasikan ia pasti akan menjadikan ia satu pertandingan bola sepak yang kompetitif dengan pasukan dari Asia Tenggara dapat beraksi dengan pasukan dari benua lain.
Ia secara tidak langsung akan memberi peluang kepada pasukan dari Asia Tenggara terutamanya skuad Malaysia untuk menguji pasukan berbeza pula berbanding ketika ini yang mana mereka sering bermain dengan pasukan yang sama sahaja.
Adakah anda bersetuju atau tidak dengan cadangan ini?