Tragedi Lebuhraya MEX umpama Kento Momota berulang, kali ini libatkan bintang skuasy negara

288

Arena skuasy negara menerima satu berita buruk semalam apabila pemain wanita No.1 negara, S. Sivasangari dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Laporan mengatakan bahawa beliau mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas kereta yang dinaikinya terlanggar belakang sebuah lori.


Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan terpaksa menjalani pembedahan dengan segera tetapi kini dilaporkan sudah sedarkan diri.

Atlet berusia 23 tahun itu yang merupakan penumpang juga bernasib baik apabila sempat dikeluarkan sebelum kereta terbakar.

Ia pastinya satu berita buruk buat kem skuasy negara yang akan menghadapi Sukan Komanwel 2022 di Birmingham bermula hujung bulan depan.

Pemain yang berada di ranking ke-19 dunia itu adalah antara harapan negara bagi meraih pingat dalam acara perseorangan wanita dan juga beregu.

Beliau juga telah dipilih sebagai pembawa bendera bagi kontinjen Malaysia pada kejohanan tersebut.

Insiden tersebut seakan-akan dejavu kepada kemalangan maut yang menimpa jaguh badminton Jepun, Kento Momota pada 2020 apabila van yang dinaikinya merempuh belakang lori kontena.

Dalam kemalangan tersebut, pemandu van tersebut maut ditempat kejadian manakala Momota dilaporkan mengalami luka ringan di muka serta patah tulang hidung.

Momota ketika itu baru beberapa jam memenangi kejohanan Malaysia Masters dan sedang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke negaranya.

Insiden itu juga menyebabkan penglihatannya bermasalah dan terpaksa menjalani pembedahan di bahagian tulang berdekatan hidungnya.

Momota yang ketika itu berada di ranking pertama dunia terpaksa berehat kira-kira setahun dan sejak itu gagal berada di tahap terbaiknya seperti sebelum insiden tersebut disebabkan trauma.

Ia adalah sesuatu yang mengecewakan apabila seorang atlet yang sedang berada di tahap terbaiknya terpaksa melupakan sebentar karier mereka akibat insiden seperti ini.

Diharapkan Sivasangari dapat bangkit kembali daripada insiden ini dan mampu kembali kepada prestasi terbaiknya selepas tempoh pemulihan.