Filem ‘Mat Kilau’ julang martabat sukan silat negara yang semakin pupus

574

Filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ merupakan sebuah filem biografi epik sejarah Melayu yang berjaya mencatatkan kutipan RM11 juta pada hari keempat tayangan.

Filem ini berhasil untuk menarik perhatian ramai penggemar filem di Malaysia.


Lebih membanggakan, filem aksi yang berlatarbelakangkan zaman penjajahan British ini mengenengahkan silat sebagai tarikan utama.

Pelakon utama, Fattah Amin merupakan antara pelakon yang mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam seni silat.

Faktor ini berjaya membantu beliau membawa watak ‘Awang’ seperti yang telah diarahkan oleh pengarah filem, Syamsul Yusof dengan berkesan.  

Pada masa yang sama, kehadiran artis bela diri dari Indonesia, Yayan Ruhian turut memberi impak yang cukup baik kepada filem ini.  

Kejayaan filem ‘Mat Kilau’ akan menjulang kembali nama baik sukan silat yang kurang mendapat perhatian di kalangan pendokong sukan tanah air yang dilihat semakin menyisihkan sukan ini.

Karya ini akan menarik minat orang ramai terutamanya golongan muda dalam mempelajari sukan yang menjadi tradisi utama masyarakat melayu.

Meskipun kurang mendapat perhatian, sukan silat merupakan antara acara yang sering diletakkan sebagai harapan utama negara di kejohanan rantau ini seperti temasya Sukan SEA dan Sukan Asia.

Skuad silat negara sentiasa berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan di setiap kejohanan yang diwakili.

Di kejohanan Sukan SEA Hanoi, pasukan silat negara telah berjaya menghadiahkan dua pingat emas dan mengakhiri kejohanan dengan kutipan 14 pingat daripada 16 kategori yang dipertandingkan di dalam sukan tersebut.

Semoga dengan perhatian yang diberikan kepada filem ini dapat menjadi motivasi kepada atlet silat negara untuk terus mempamerkan aksi berkualiti di kejohanan yang mendatang.

Kesempatan ini juga boleh digunakan oleh Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PSKM) untuk mencari lebih ramai pelapis bagi menggantikan atlet sedia ada seperti jaguh silat negara, Al Jufferi Jamari.

PSKM perlu menjalankan usaha dari sekarang untuk mendapatkan barisan pelapis yang boleh membawa cabaran negara di kejohanan besar dunia pada masa hadapan.

Al Jufferi sebelum ini telah menyatakan hasratnya untuk bersara selepas Kejohanan Silat Dunia yang diadakan di Melaka pada Julai tahun ini.

Kehebatan beliau tidak boleh disangkal lagi berdasarkan pencapaian demi pencapaian yang telah dimilki olehnya di arena silat antarabangsa.

Al Jufferi juga pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Negara pada majlis Anugerah Sukan Negara tahun 2015.