‘Winning mentality’ yang diterapkan di JDT II buat saya tiada masalah bersama skuad B-19 – Aysar Hadi

1,303

Pemain tengah pasukan kebangsaan B-19, Ahmad Aysar Hadi memberitahu mentaliti mahu sentiasa menang yang diterapkan di kelabnya iaitu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) membantunya beri aksi terbaik bersama skuad B-19 negara.

Aysar telah dipanggil untuk sertai kem latihan berpusat untuk persiapan pasukan B-19 untuk menghadapi saingan Piala AFF B-19 yang akan berlangsung di Indonesia awal Julai depan.


Winning mentality yang diterapkan di JDT buat saya tiada masalah bersama skuad B-19. Latihan bersama skuad kebangsaan tiada ada perbezaan kerana taktikal yang digunakan sama dengan kelab saya iaitu corak permainan berintensiti tinggi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Aysar, kesemua 26 pemain yang dipanggil untuk berlatih bersama juga sudah serasi dan setiap pemain akan memberikan komitmen yang tinggi dalam setiap latihan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai rakan sepasukan Omar Raiyan yang turut dipanggil menyertai kem latihan dari kelab Red Star Belgrade di Serbia, Aysar mengakui kehadiran pemain muda itu memberi impak positif dalam pasukan.

“Saya dan rakan lain sering bertanyakan kepada Omar mengenai perbezaan latihan dan corak permainan di Serbia dan beliau tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan kami. Kehadiran Omar memberi impak positif buat pasukan.”

Aysar merupakan antara tonggak utama JDT II yang beraksi di Liga Perdana dengan pada musim ini beliau sudah mempunyai sebanyak lapan penampilan.

Sementara itu, kejayaan yang dikecapi oleh skuad senior dalam Kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini tidak sedikit pun memberi tekanan kepadanya dan rakan sepasukan untuk pamer aksi terbaik di Piala AFF B-19 nanti.

“Ini merupakan satu penanda aras yang baik untuk semua pemain yang berada dalam pasukan sekarang, jadi ia merupakan satu perkara positif kerana bagi saya tekanan boleh memberi kelebihan untuk kita improve.

Untuk saingan Piala AFF B-19 2022, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Timor-Leste, Kemboja dan Singapura.

Walaupun boleh dikatakan skuad Harimau Muda mempunyai laluan mudah untuk mara ke peringkat seterusnya, namun Aysar berkata mereka tidak boleh memandang rendah kepada pasukan lawan.

“Kita tidak boleh ambil mudah kerana setiap pasukan mempunyai kelebihan. Apa yang pasti kami akan buat yang terbaik untuk dapat keputusan positif. Harapan saya adalah untuk menang Piala AFF B-19 nanti.”