Kami menang tapi saya tak puas hati dengan pengadil, AFC – Ketua jurulatih PSM Makassar

897

Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares tidak gembira dengan keputusan pengadil dan mengkritik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) walaupun pasukannya berjaya menewaskan Tampines Rovers 3-1 sebentar tadi.

Beliau berkata anak buahnya berhak mendapat layanan yang lebih baik dan merayu kepada AFC supaya menggunakan VAR (video assistant referee) pada kejohanan Piala AFC.


“Saya menghormati kerja pengadil tetapi mereka tidak menghormati tugas saya, walaupun saya bukan pengadil saya tahu undang-undang bola sepak.

Jika ada kejohanan ini ada VAR, pasukan lawan akan menamatkan perlawanan kurang daripada 10 pemain,” katanya.

Tavares berkata skuadnya kini tempang akibat ramai pemain mengalami kecederaan yang mana beliau berkata perkara itu dapat dielakkan sekiranya pengadil lebih tegas.

Dalam pada itu, beliau percaya KL City FC masih merupakan pasukan pilihan untuk layak ke peringkat seterusnya walaupun pasukannya ketika ini menduduki tangga pertama kumpulan.

Beliau berpendapat KL City akan mudah membenam Tampines Rovers lebih daripada tiga gol pada perlawanan seterusnya, sekaligus mengatasi kelebihan gol pasukannya.

“Saya yakin KL City boleh jaringkan empat, lima atau enam gol dengan mudah kerana mereka mempunyai rehat selama enam hari berbanding kedua-dua pasukan lawan.

Saya tidak mahu sentiasa merungut mengenai perkara ini tidak sepatutnya berlaku pada kejohanan besar seperti ini.”

PSM Makassar kini menghuni tangga pertama Kumpulan H dengan empat mata selepas satu kemenangan dan satu seri.

Perlawanan membabitkan KL City menentang Tampines Rovers Khamis ini akan menentukan kedudukan terakhir Kumpulan H sekaligus layak ke peringkat seterusnya.