Perpindahan Daniel Ting cetus tanda tanya, tawaran KL City tak cukup menarik untuk beliau?

2,832

Johor Darul Ta’zim (JDT) FC telah mengumumkan kemasukan bekas pemain Kuala Lumpur City FC, Daniel Ting bagi memperkuatkan lagi bahagian pertahanan pasukan tersebut.

Perkara ini menimbulkan tanda tanya kerana pemain kacukan Malaysia-England ini telah membuat keputusan untuk kembali ke England selepas tamat musim ekoran daripada keengganan beliau untuk mengambil vaksin.


Situasi ini menyebabkan kontrak beliau telah dibatalkan oleh pihak pengurusan KL City atas persetujuan bersama.  

Selepas ditamatkan kontrak, beliau mengambil keputusan untuk berehat dari kancah bola sepak seperti yang dilakukan sebelum ini pada tahun 2018 sebelum menyertai KL City pada 2021.

Namun beliau kemudian telah membuat keputusan kembali ke secara tiba-tiba ke Malaysia untuk menyertai juara liga lapan kali JDT mendapat pelbagai reaksi daripada peminat.  

Perkara ini telah menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat yang mempersoalkan tindakan yang dilakukan oleh beliau sebelum ini.

Wujud juga kata-kata yang mendakwa bahawa ada satu rundingan ‘pintu belakang’ yang dilakukan untuk membawa pemain ini ke pasukan Harimau Selatan, bagaimanapun dakwaan itu tidak dapat dibuktikan.

Namun, satu perkara yang perlu diperakui oleh kesemua peminat bola sepak Malaysia adalah pasukan JDT mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang jauh lebih banyak berbanding pasukan KL City dan kesemua pasukan lain di Liga Malaysia.

Selain daripada bayaran gaji yang lumayan, terdapat beberapa faktor lain yang menjadi daya tarikan utama kepada pemain berbakat seperti Ting untuk berhijrah.

Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi ditambah dengan fasiliti berkelas dunia yang dimiliki oleh pasukan JDT jelas menjadi antara motivasi utama untuk pemain ini tatkala prestasi semasa beliau semakin meningkat naik.

JDT selaku pasukan yang digeruni di Malaysia mempunyai peluang yang cerah untuk terus beraksi di kejohanan besar seperti AFC Champions League (ACL).

Situasi ini akan membuka peluang kepada Ting untuk merebut tempat bagi dipilih sebagai pemain yang akan beraksi di pentas tertinggi Asia itu.

Tambahan pula, latihan berintensiti tinggi yang dilakukan oleh ketua jurulatih, Benjamin Mora akan membantu Ting untuk meningkatkan lagi kualiti yang dimiliki olehnya.

Pada masa yang sama, ini akan membolehkan beliau untuk cuba menarik perhatian daripada ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon untuk turut menyenaraikan beliau untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Ting sebelum ini telah mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukan KL City sehingga berjaya membantu pasukan tersebut memenangi Piala Malaysia pada tahun 2021.

Ini bukan kali pertama beliau beraksi bersama pasukan JDT kerana sebelum ini beliau telah memulakan kariernya di Malaysia bersama pasukan JDT II sebelum menyertai pasukan Negeri Sembilan FC dan Selangor PKNS FC.

Diharap agar segala permasalahan yang berlaku di sebalik perpindahan ini akan dapat diatasi dan diperbaiki pada masa hadapan untuk memastikan kualiti liga bola sepak di Malaysia akan terus terjamin.