Khalid Samad hanya akan letak jawatan jika ‘terpaksa’
Khalid Samad menafikan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Beliau berkata demikian selepas baru-baru ini dilaporkan KLFA telah mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi menentukan kedudukan seseorang dalam persatuan itu yang mana ramai yang dapat mengaitkannya dengan kedudukan presiden persatuan tersebut.
Khalid yang dihubungi Harimau Malaya bagaimanapun berkata beliau tidak menolak kemungkinan akan melepaskan jawatan itu jika terpaksa.
Jawapan ringkas tersebut nyata memberi bayangan terdapat pergolakan yang sedang dalam badan induk bola sepak KL ketika ini.
KLFA bagaimanapun sehingga kini masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara ini.
Ahli Parlimen Shah Alam itu telah menerajui KLFA sejak 2019 dan sepanjang kepimpinannya, beliau telah berjaya membawa pasukan KL City FC menjuarai Piala Malaysia 2021 sekaligus menamatkan kemarau 32 tahun tanpa piala.
Sejak menjuarai trofi berprestij itu, KL City mula berdepan dengan pelbagai masalah termasuk isu gaji pemain yang mana mereka berjaya selesaikan.
Ketika ini KL City sedang berjuang dalam saingan Piala AFC 2022 yang mana mereka menjadi tuan rumah untuk Kumpulan H.
Pada perlawanan pertama KL City seri tanpa jaringan ketika menentang PSM Makassar dan skuad kendalian Bojan Hodak itu akan bertemu dengan Tampines Rovers FC pada 30 Jun ini untuk perlawanan terakhir sekaligus menjadi penentu samada mereka akan layak ke peringkat seterusnya atau tersingkir awal.