Sam Somerville mahu terus jaga gawang Selangor FC, idam wakili Harimau Malaya satu hari nanti
Penjaga gol Sam Somerville berharap dapat terus diberi peluang menjaga gawang pasukan selepas ini selepas diberi peluang melakukan penampilan pertama bersama Selangor FC.
Menurut Sam, adalah penting baginya mendapatkan minit permainan yang mencukupi untuk terpilih mewakili Harimau Malaya.
Pada perlawanan Liga Super menentang Sabah FC malam tadi, beliau telah diturunkan dalam kesebelasan utama yang mana menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.
“Sudah tentu saya sangat gembira dan bangga dapat melakukan debut dalam liga bersama pasukan Selangor.
Ini adalah langkah pertama buat saya dan selepas ini pasti saya mahu terus bermain sehingga berjaya mewakili Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Mengenai perlawanan tersebut, beliau mengakui kecewa kerana tidak dapat meraih tiga mata penuh walaupun Selangor mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
Beliau juga berterima kasih kepada penyokong Selangor yang sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan dan berharap ia akan diteruskan lagi pada perlawanan seterusnya.
Selangor terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Caion seawal minit ketiga sebelum Saddil Ramdani menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-53.
Keputusan itu menyaksikan Sabah melonjak ke tangga kedua liga manakala Selangor kekal di tangga keenam.