Shin Tae-yong jadi penentu JDT akan dapat khidmat Jordi Amat atau tidak

8,065

Selepas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail mengesahkan akan membawa masuk pemain warisan Indonesia, Jordi Amat ke pasukannya, ia telah mencetuskan pelbagai reaksi termasuk pertikaian dalam kalangan penyokong Indonesia.

Pertikaian itu menjadi semakin panas apabila ramai penyokong yang mendesak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk membatalkan proses naturalisasi pemain Indonesia-Sepanyol itu.


Susulan itu, PSSI telah tampil mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan meneruskan proses naturalisasi pemain itu kerana ia adalah permintaan ketua jurulatih Shin Tae-yong sebelum ini, tetapi jika beliau ubah fikiran tidak mahu Jordi Amat, badan induk bola sepak itu akan terus membatalkan proses naturalisasi tersebut.

Kenyataan dari PSSI ini telah memberi gambaran jelas bahawa nasib JDT untuk mendapatkan Jordi Amat sebagai pemain import kuota ASEAN hanya akan jadi realisasi sekiranya Tae-yong bersetuju mahu naturalisasikan pemain itu.

Bagaimanapun Tae-yong masih lagi belum membuat sebarang kenyataan mengenai perkara ini, namun ia akan terjawab juga dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu, PSSI dalam satu lagi kenyataan turut menyuarakan keinginan untuk melihat Jordi Amat terus kekal bermain di Eropah.

Terdahulu penyokong bola sepak Indonesia teruja apabila Jordi Amat akan dinaturalisasikan kerana dengan pengalamannya bermain di Eropah seperti di kelab Swansea, Real Betis, Espanyol dan beberapa lagi mampu meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan Indonesia.

Oleh sebab itu mereka mahu pemain berusia 30 tahun itu terus bermain di Eropah supaya beliau dapat mengekalkan prestasinya sekaligus dapat bantu pasukan kebangsaan.

Biarpun ada yang bersetuju dengan keputusan Jordi Amat untuk menyarung jersi Harimau Selatan itu berikutan JDT kelab yang konsisten beraksi di saingan tertinggi Asia di AFC Champions League (ACL), tetapi penyokong yang tidak bersetuju tetap dengan pendirian mereka dengan memberi alasan bahawa bukannya kelab itu akan bermain di ACL setiap minggu.

Isu ini turut mendapat perhatian rangkaian berita terbesar dunia CNN yang turut melaporkan mengenai bantahan pemain itu beraksi bersama JDT.

Tidak dapat dinafikan setiap reaksi penyokong ada baik dan buruknya tetapi hanya Tae-yong sahaja yang dapat menentukan nasib Jordi Amat ketika ini, secara tidak langsung nasib JDT untuk mendapatkan khidmat pemain ini juga bergantung kepada keputusan daripada pengendali Korea Selatan itu.