Persaingan Bergson-Forestieri jadi aset utama JDT kekal di takhta liga
Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Brazil, Bergson Da Silva terus mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super selepas menambah dua lagi jaringan dalam koleksi beliau musim ini pada perlawanan menentang Petaling Jaya City FC.
Bergson membuktikan ketajaman beliau di hadapan gawang selepas berjaya menjaringkan 13 gol daripada lapan perlawanan.
Pemain berusia 31 tahun itu meneruskan kecemerlangannya pada kempen musim lalu yang mana menyaksikan Bergson berjaya menjaring 23 gol sekaligus menjadi penjaring kedua terbanyak di Liga Super 2021.
Sementara itu, seorang lagi pemain import JDT iaitu Fernando Forestieri dari Argentina juga mengikuti rapat Bergson apabila beliau turut menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya menang bergaya dengan 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Dua jaringan tersebut meletakkan Forestieri di tangga ketiga carta dengan tujuh jaringan berkongsi kedudukan dengan penyerang Kedah Darul Aman FC, Ronald Ngah.
Persaingan sihat di antara kedua-dua pemain hadapan ini menjadi aset terpenting untuk membantu JDT terus mempamerkan aksi cemerlang dalam setiap perlawanan musim ini.
Sebelum ini, gandingan Bergson-Forestieri ini berjaya membantu pasukan Harimau Selatan membelasah Selangor FC 5-1.
Seorang lagi import Brazil yang beraksi bersama pasukan Selangor, Herlison Caion menduduki tangga kedua dengan mencatatkan sepuluh jaringan daripada lapan penampilan liga musim ini.
Caion sering mempamerkan aksi cemerlang sejak dibawa masuk dari Muangkan United Disember tahun lalu.
Kehebatan beliau di hadapan gawang lawan membantu pasukan Selangor untuk menjadi antara pasukan yang berjaya mendapatkan jumlah jaringan gol yang besar dalam Liga Super setakat ini dengan 21 gol.
Namun, aksi tidak konsisten yang ditunjukkan oleh pasukan Gergasi Merah sedikit sebanyak akan menjejaskan rentak kecemerlangan beliau.
Dalam pada itu, prestasi semasa pasukan JDT yang tidak kalah pada lima perlawanan terakhir Liga Super akan terus menjadi motivasi terbaik untuk duo mereka, Bergson dan Forestieri untuk terus mempamerkan aksi bertenaga sehingga ke penghujung saingan liga.
Forestieri yang pernah bermain bersama beberapa kelab besar Itali seperti Genoa dan Udinese di Serie A menggunakan pengalaman beliau dengan sebaiknya untuk terus mempamerkan kualiti terbaik setelah dibawa masuk oleh JDT pada Januari tahun ini.
Kehadiran dua penyerang ini ditambah dengan barisan pemain bintang dan berkualiti sedia ada yang dimiliki oleh Benjamin Mora akan terus menjadi senjata utama untuk pasukan JDT mendominasi Liga Malaysia.
Pada masa yang sama, ketajaman Bergson dan Forestieri akan terus ditagih pada perlawanan peringkat kalah mati menentang Urawa Red Diamonds di kejohanan AFC Champions League 2022 yang akan berlangsung pada Ogos depan.