Ashman Rizal, ‘ubi muda’ terbaru berkelana ke luar negara  

6,367

Bintang muda, Ashman Rizal merupakan antara pemain terbaru dari Malaysia yang sedang berkelana di luar negara.

Pemain pertahanan yang dilahirkan di Sarawak ini sedang beraksi bersama pasukan belia Esbjerg fB di Denmark.


Esbjerg fB merupakan antara kelab yang cukup dikenali di Denmark dan sedang bersaing di liga divisyen kedua negara tersebut.   

Antara pemain terkenal yang pernah bermain bersama pasukan ini adalah bekas pemain Real Madrid, Rafael van der Vaart dan penjaga gol Newcastle United FC, Martin Dubravka.

Kelab ini dimiliki oleh pelabur terkenal Eropah, Chien Lee yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Beliau juga memiliki beberapa kelab lain sekitar Eropah yang terkenal seperti AS Nancy di Perancis dan Barnsley di England.

Lebih menarik, kelab ini juga telah menghasilkan beberapa orang pemain yang berjaya mewakili pasukan kebangsaan Denmark di Piala Dunia seperti Martin Braithwaite yang kini bersama pasukan gergasi Sepanyol, Barcelona.

Peluang untuk beraksi di kelab Eropah dapat menjadi ‘batu loncatan’ kepada pemain muda untuk meningkatkan kualiti permainan yang dimiliki oleh mereka.

Situasi ini juga akan memberikan kelebihan kepada pasukan negara dalam mencari pemain yang mampu menggalas cabaran di kejohanan-kejohanan antarabangsa.

Selain daripada Luqman Hakim yang kini bermain di Liga Belgium, terdapat ramai pemain muda dari Malaysia yang terus berjaya menarik perhatian kelab dari luar negara.

Pada masa yang sama, terdapat beberapa pemain yang sedang mencuba nasib di luar negara seperti Adam Hamid yang sebelum ini beraksi bersama pasukan divisyen kedua Liga Bosnia, NK Zvijezda.

Yang terbaru, pemain yang akan menandatangani kontrak bersama kelab gergasi Serbia, Red Star Belgrade, Omar Raiyan telah dipanggil untuk mengikuti latihan skuad B-19 tahun negara.

Omar telah berjaya mempamerkan prestasi yang cukup memberangsangkan sehingga mendapat perhatian dari ketua jurulatih B-19 negara, Hassan Sazali Waras untuk memperkuatkan lagi skuad muda negara ke Piala AFF Julai ini.

Situasi ini menunjukkan petanda positif terhadap pembangunan pemain muda negara yang akan menjadi prospek terbaik di masa hadapan.

Semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain-pemain muda ini untuk keluar menimba pengalaman yang baru perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu segera mengambil tindakan untuk memantau secara teliti terhadap perkembangan kesemua pemain yang kini berada di luar negara agar bakat mereka tidak disia-siakan.