Ketua jurulatih Tampines Rovers tekad mahu kecewakan KL City FC

269

Ketua jurulatih Tampines Rovers, Gavin Lee memberitahu anak buahnya kini berada dalam keadaan yang baik dan tidak sabar untuk berdepan KL City FC dalam perlawanan terakhir Kumpulan H Piala AFC 2022.

Menurut Lee, walaupun pada mulanya sedih kerana tewas kepada PSM Makassar tempoh hari, para pemain kini fokus untuk meraih tiga mata pada perlawanan tersebut.


“Sudah tentu selepas tamat perlawan pertama tempoh hari keadaan mental mereka masih negatif dan itu adalah normal kerana kami datang ke sini untuk menang.

Tetapi kami semua pernah melalui saat yang buruk sebelum ini dan sekarang kami hanya fokus kepada perlawanan menentang KL City,”

katanya.

Tambah Lee lagi, beliau percaya para pemain tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak perlu memberi sebarang arahan khusus buat mereka.

Sementara itu, pemain pertahanan Ryaan Sanizal berkata beliau dan rakan-rakan akan melupakan kekecewaan ketika menentang PSM Makassar tempoh hari dan mahu bangkit mencatatkan kemenangan ke atas KL City.

Beliau tidak mahu segala usaha yang diberikan untuk menghadapi kejohanan ini disia-siakan begitu sahaja walaupun peluang mereka untuk ke peringkat seterusnya hampir mustahil.

“Kami para pemain masih mahu tunjukkan apa yang kami mampu lakukan dan berharap esok akan menjadi perlawanan yang baik buat kami.”

Ryaan menganggap perlawanan tersebut adalah penting buat dirinya dan rakan-rakan bagi sekurang-kurangnya mendapatkan sesuatu pada kejohanan ini.

Perlawanan antara KL City dan Tampines Rovers bakal berlangsung pada pukul 8.00 malam Khamis ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Harimau Malaya Kami ingin menunjukkan kepada anda pemberitahuan untuk berita dan kemas kini terkini.
Dismiss
Allow Notifications