Syahmi Adib idam bertemu dengan pasukan Vietnam dan Indonesia di Piala AFF B-19
Penjaga gol pasukan kebangsaan B-19, Syahmi Adib meletakkan harapan yang tinggi untuk berjumpa dengan pasukan Vietnam dan Indonesia yang dilihat sebagai antara pencabar utama pada kejohanan Piala AFF B-19 2022 yang akan bermula pada 2 Julai ini di Indonesia.
“Vietnam merupakan sebuah pasukan yang berada dalam kelas mereka tersendiri, manakala Indonesia merupakan seteru utama negara sejak sekian lama,”
katanya.
Beliau yang kini beraksi bersama pasukan Selangor FC II optimis dengan peluang yang dimiliki oleh skuad negara untuk melangkah jauh di kejohanan kali ini.
“Saya yakin dengan sasaran untuk mara ke pusingan separuh akhir seperti yang diletakkan oleh pihak pengurusan.”
Kebanyakan pemain yang dipilih mempunyai pengalaman bermain bersama sebelum ini di peringkat kelab.
Sebagai contoh, terdapat 10 orang pemain Selangor FC II yang berjaya mendapat tempat di dalam senarai akhir pemain.
Situasi ini akan memberikan kelebihan kepada ketua jurulatih, Hassan Sazali untuk mendapatkan persefahaman di kalangan pemain.
Pasukan negara memulakan latihan fasa kedua pada 25 Jun yang lalu sebelum mengadakan satu perlawanan ujian menentang pasukan UiTM FC sebelum bertolak ke Indonesia.
“Berdasarkan perlawanan ujian terakhir menentang UiTM, saya rasa yakin dengan kebolehan yang dimiliki oleh setiap pemain yang telah dipilih ke Indonesia.”
Meskipun menjalani tempoh latihan yang singkat, aksi berkualiti oleh kesemua pemain pada perlawanan ujian tersebut telah membuktikan bahawa mereka sudah bersedia dari segi fizikal dan mental.
Pasukan Malaysia akan membawa seramai 25 orang pemain untuk menggalas cabaran negara di kejohanan tersebut.
Skuad negara diletakkan di dalam Kumpulan B bersama pasukan Laos, Timor Leste, Kemboja dan Singapura.
Piala AFF B-19 akan menjadi pentas ujian buat skuad muda negara sebelum melangkah ke pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2023 yang akan berlangsung di Mongolia pada September ini.