Bila kita akan dapat pemain setanding Akmal Rizal?
Perpindahan pemain kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai ke kelab Ligue 2 Perancis, Pau FC mendapat sambutan yang menakjubkan dari peminat bola sepak seluruh Asia Tenggara.
Lebih menarik, akaun media sosial Pau FC terus ‘diserang’ oleh penyokong bola sepak Vietnam yang cukup gembira dengan keputusan ‘Messi Vietnam’ ini.
Situasi ini jelas menunjukkan betapa besarnya nilai perpindahan ini kepada semua penyokong bola sepak di Vietnam.
Walaupun beraksi untuk kelab divisyen kedua, penghijrahan Quang Hai akan tetap memberi impak yang besar bukan sahaja kepada pembangunan diri beliau malah kepada pasukan kebangsaannya.
Hal ini akan memberi kelebihan kepada pasukan Vietnam tatkala Quang Hai merupakan aset utama skuad tersebut yang akan turut beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023.
Peluang untuk beraksi di liga bola sepak sekitar Eropah merupakan matlamat utama kebanyakan pemain di sekitar rantau Asia Tenggara.
Persaingan yang dimiliki oleh liga besar seperti Perancis akan membantu dalam meningkatkan potensi dan kualiti seseorang pemain.
Meskipun sedih untuk diakui namun Malaysia dilihat semakin jauh ketinggalan dengan negara Asia Tenggara yang lain seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand yang semakin rancak menghantar pemain utama mereka ke luar negara.
Sedar atau tidak, Malaysia merupakan antara negara Asia Tenggara terawal yang menghantar pemain ke negara besar seperti Perancis.
Bekas penyerang berbisa negara, Akmal Rizal merupakan pemain pertama dari Malaysia yang beraksi di Liga Perancis bersama pasukan RC Strasbourg pada tahun 1999.
Prestasinya terus mendapat perhatian sebuah lagi kelab Perancis, FCSR Haguenau yang telah mendapatkan khidmat beliau secara pinjaman sehingga tahun 2001.
Sepanjang 36 aksi bersama Haguenau, Akmal berjaya menjaringkan 10 gol sebelum kembali ke Liga Malaysia untuk menjadi penyerang utama pasukan Kedah FA.
Pengalaman beraksi di Liga Perancis membantu beliau meraih kejayaan demi kejayaan sehingga dikenali sebagai antara penggempur utama pasukan negara pada era kegemilangannya.
Namun, sehingga kini masih belum ada pemain negara yang mampu menandingi pencapaian tersebut.
Pada dasarnya, terdapat ramai pemain yang telah keluar berkelana ke kelab di Eropah seperti pemain muda negara, Luqman Hakim yang beraksi bersama pasukan KV Kortrijk di Belgium dan juga Safawi Rasid sebelum ini di Liga Primeira Portugal bersama Portimonense SC.
Namun, pemain-pemain ini bukan selalu memberi impak yang diharapkan sewaktu kembali beraksi di Malaysia atau semasa dipanggil untuk mewakili pasukan kebangsaan.
Lebih menyedihkan, pencapaian pasukan serantau seperti Vietnam di peringkat antarabangsa dilihat semakin jauh meninggalkan pasukan negara.
Perkara ini berlaku kerana kebanyakan kelab hanya memberi fokus kepada pengambilan pemain dari luar negara untuk memperkuatkan pasukan berbanding memberi fokus untuk pemain-pemain muda berhijrah ke pasukan berkualiti di luar negara untuk menimba pengalaman.
Diharap agar tindakan yang lebih drastik dapat segera diambil oleh badan bertanggungjawab seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk kembali menjulang nama negara di persada antarabangsa.
Akmal Rizal kini membimbing pasukan B-21 Penang FC selepas bersara pada tahun 2015.