Zamsaham tawarkan diri selamatkan SSA, wajar atau hanya usaha sia-sia?
Khabar angin berkenaan pelan merobohkan Stadium Shah Alam (SSA) untuk digantikan dengan sebuah stadium mini mendapat pelbagai reaksi dari semua pihak.
Meskipun tidak dihargai oleh pihak negeri Selangor, nilai yang dimiliki oleh SSA berjaya menarik perhatian pemilik pasukan TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.
Pemilik yang berusia 41 tahun itu tampil untuk mempertahankan stadium keramat tersebut.
Beliau telah menyatakan kesudiannya untuk memajak fasiliti sukan tersebut untuk dijadikan gelanggang untuk pasukan Kelantan beraksi.
Zamsaham melakukan perkara ini demi cintanya kepada bola sepak dan tindakan seperti ini perlu diberikan pujian.
SSA merupakan salah sebuah stadium utama di Malaysia yang memberi 1001 kenangan kepada penyokong bola sepak tanah air.
Inisiatif yang dilakukan oleh Norizam dilihat mampu menyelamatkan khazanah tersebut daripada terus dirobohkan.
Meskipun menghadapi pelbagai kerosakan, ia tetap menjadi antara kebanggaan negara pada suatu masa dahulu melalui penganjuran beberapa kejohanan besar seperti Piala Asia dan Sukan SEA.
Pada masa yang sama, pengambilan hak milik stadium ini akan turut memberi kelebihan kepada pasukan Kelantan ekoran daripada bilangan peminat pasukan tersebut yang ramai di sekitar Lembah Klang.
Perkara ini dapat dilihat pada perlawanan ‘Derbi Kelantan’ menentang pasukan Kelantan United FC sebelum ini di mana ramai penyokong telah hadir untuk membanjiri stadium.
Namun, perkara ini turut mendapat reaksi yang sebaliknya dari segelintir penyokong setia pasukan Kelantan yang beranggapan bahawa tindakan itu adalah tidak wajar untuk dilakukan.
Penyokong bola sepak Kelantan meletakkan harapan yang tinggi agar pemilik tersebut lebih memberikan fokus kepada pembangunan fasiliti di dalam negeri berbanding cuba untuk mendapatkan kemudahan di luar.
Hal ini kerana, kemeriahan yang dirasai sebelum ini di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Muhammed IV tidak akan dapat dibawa ke SSA.
Stadium Sultan Muhammed IV yang masih belum dapat digunakan sepenuhnya memaksa pasukan pantai timur tersebut berpindah ke beberapa padang perlawanan berlainan bagi menghadapi aksi liga musim ini.
Pada masa yang sama, pihak bertanggungjawab juga perlu mempertimbangkan semula keputusan untuk merobohkan SSA yang telah menjadi gelanggang keramat untuk pasukan Selangor dan negara sejak mula digunakan.
Walaubagaimanapun, komitmen dan keberanian yang ditunjukkan oleh Zamsaham perlu dicontohi oleh pemilik pasukan yang lain dalam membantu meningkatkan lagi mutu liga bola sepak Malaysia.
Visi yang dimiliki oleh beliau di dalam arena bola sepak dan bisnes membolehkannya melebarkan sayap sehingga mampu membeli sebuah pasukan di Liga 2 Indonesia, PSPS Riau FC.