Lee Zii Jia perlu pulihkan diri sepenuhnya sebelum kembali ke gelanggang

206

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kini menjadi pemain badminton harapan negara dan juga peminat selepas beliau berjaya menjuarai kejohanan Seluruh England (All England) 2021.

Kejayaan tersebut secara tidak langsung telah memberi kesan kepadanya untuk terus memberikan keputusan terbaik dalam setiap kejohanan yang disertainya dan ini telah menyebabkan dia tidak dapat mengekalkan kecergasannya.


Zii Jia mula mengalami kecederaan ketika beraksi di kejohanan Terbuka Hylo di Jerman pada November dan berjaya layak ke perlawanan akhir menentang pemain dari Singapura, Loh Kean Yew, namun terpaksa menarik diri berikutan mengalami kecederaan belakang.

Mempunyai tempoh yang singkat untuk pulih dari kecederaannya, Zii Jia yang mempunyai semangat yang tinggi nekad untuk bersaing dalam kejohanan Indonesia Masters di Bali.

Bagaimanapun Zii Jia yang masih belum pulih sepenuhnya sekali lagi terpaksa menarik diri ketika menentang pemain Denmark, Rasmus Gemke sekaligus memberi kemenangan percuma kepada pemain nombor 13 dunia itu.

Zii Jia kemudian meletak sasaran untuk tebus kekecewaan terpaksa menarik diri di Indonesia apabila bersaing di Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol, namun nasib malang terus menghantuinya apabila beliau sekali lagi terpaksa menarik diri akibat kecederaan tapak kaki pula selepas menang di set pertama.

Penarikan diri dalam Kejohanan Dunia itu sedikit mengecewakan anak didik Hendrawan yang mahu menutup tirai 2021 dengan bergaya sekiranya mampu merangkul gelaran utama itu.

Pemain yang kini berada pada ranking ke-7 dunia itu diramal mampu memberi saingan sengit untuk musim hadapan, tetapi Zii Jia perlu memastikan dirinya berada dalam tahap terbaik dari segi mental dan fizikal.

Saingan badminton musim baru bakal berlangsung pada Januari 2022 menerusi kejohanan pertama iaitu Terbuka India yang akan bermula pada 11 hingga 16 Januari sebelum dua lagi kejohanan pada bulan sama iaitu Syed Modi India International dan Odisha Open.

Untuk memastikan Zii Jia berada pada tahap terbaik, beliau boleh mula bersaing pada kejohanan YONEX GAINWARD German Open pada 8-13 Mac sebagai kejohanan memanaskan badan sebelum tampil mempertahankan kejuaraan Seluruh England yang akan berlangsung pada 16-20 Mac.

Bukan sahaja peminat yang mengharapkan Zii Jia bakal kembali lebih kuat pada musim hadapan tetapi juga Hendrawan yang meramalkan anak didiknya mempunyai peluang untuk menang gelaran utama.