Ketua jurulatih Tampines Rovers percaya pengalaman Piala AFC jadikan pemainnya lebih baik

559

Ketua jurulatih Tampines Rovers, Gavin Lee percaya pendedahan dan pengalaman yang diperoleh pemain-pemain mudanya di Piala AFC 2022 akan membantu mereka menjadi pemain yang lebih matang dan baik pada masa hadapan.

Walaupun tewas pada kedua-dua perlawanan, beliau berharap kejohanan tersebut dapat membentuk sikap dan meningkatkan prestasi anak buahnya.


“Saya rasa pendedahan dan pengalaman di pentas antarabangsa ini akan menjadikan mereka pemain yang lebih baik.

Apa yang kami boleh berikan kepada mereka adalah peluang untuk berkembang dan kami harus sentiasa membantu antara satu sama lain untuk menjadi lebih baik,”

katanya.

Tampines Rovers menamatkan saingan Piala AFC 2022 di tangga tercorot Kumpulan H tanpa sebarang kemenangan.

Dalam pada itu, Gavin berkata mereka kini harus fokus kepada perlawanan liga seterusnya menentang Albirex Niigata Singapore FC dalam masa tiga hari.

“Sudah tentu kami tak berjaya capai objektif untuk layak ke peringkat seterusnya tetapi kami tiada masa untuk bersedih.

Kami akan turun pada perlawanan liga dalam tempoh tiga hari jadi mental kami harus terus kuat.”

Berdasarkan dua perlawanan di Piala AFC ini, beliau dapat mengesan kelemahan yang perlu diperbaiki oleh anak buahnya dan akan memperbaikinya secepat mungkin.

Beliau berharap para pemain dapat belajar dengan cepat dari kejohanan ini untuk menghadapi perlawanan seterusnya.