Kemasukan Jordi Amat, selamat tinggal Shahrul Saad?

3,743

Kemasukan pemain pertahanan terbaru Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat merupakan antara pengumuman terbesar yang berlaku pada minggu ini.

Dengan kehadiran Amat di bahagian pertahanan JDT, wujud persoalan tentang masa depan pemain pertahanan negara, Shahrul Saad yang akan berentap untuk mendapatkan tempat sebagai kesebelasan utama.


Sebelum ini, Shahrul merupakan antara pilihan utama untuk bergandingan dengan seorang lagi pemain pertahanan, Shane Lowry dari Australia di bahagian tengah pasukan Harimau Selatan.

Amat yang mempunyai pengalaman luas di pentas Eropah dilihat akan menjadi saingan terhebat untuk Shahrul mengekalkan tempatnya ataupun sekaligus mengambil alih sebagai pilihan utama.

Dengan tanda harga RM4.5 juta, beliau telah memintas kedudukan rakan sepasukan, penyerang Argentina, Fernando Forestieri selaku pemain termahal Liga Malaysia pada ketika ini

Kemahiran, fizikal dan pengalaman yang dimiliki oleh Amat akan menjadi antara kelebihan utama yang akan menarik perhatian ketua jurulatih, Benjamin Mora.

Persaingan sihat seperti ini merupakan perkara biasa yang berlaku pada kelab besar di seluruh dunia dan elemen ini akan membantu Mora dalam menghasilkan skuad yang berkualiti tinggi, kompetitif dan mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa.

Ini secara tidak langsung memberi kesan ketara kepada masa depan Shahrul di dalam skuad kebangsaan.

Seperti yang sedia maklum, ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon sering meletakkan Shahrul sebagai kesebelasan utama beliau di samping pemain Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee di bangku simpanan sebagai pemain sandaran.

Kekurangan minit permainan bersama kelab akan menjejaskan kedudukan Shahrul sebagai pilihan utama untuk terus mengemudi bahagian tengah skuad negara menjelang pusingan akhir Piala Asia tahun hadapan.

Setakat ini, Shahrul yang baru menyertai JDT pada tahun lalu telah menjadi antara sandaran utama pasukan untuk beraksi di kejohanan seperti Liga Super dan AFC Champions League 2022.

Pada masa yang sama, Khuzaimi kini berada di tahap terbaik apabila berjaya mempamerkan aksi cemerlang bersama kelabnya.

Beliau berjaya membantu pasukan Negeri Sembilan untuk berada di tangga kedua Liga Super selepas berjaya memenangi lima daripada 11 perlawanan liga setakat ini.

Untuk pengetahuan, Shahrul telah berjaya mengumpul sebanyak 40 kaps bersama skuad kebangsaan dan turut berjaya membantu Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas 42 tahun.

Perlawanan menentang Melaka United Sabtu ini besar kemungkinan akan menjadi aksi pertama Amat bersama pasukan JDT sekiranya beliau diturunkan.