Di saat Jaami Qureshi main ‘tarik tali’, Khuwailid Mustafa tak sabar tunggu panggilan Indonesia

25,318

Isu mengenai pemain berdarah kacukan Malaysia-Iraq, Jaami Qureshi sekali lagi hangat selepas bapanya, Perviz Qureshi kembali menyerang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kali ini bapa Qureshi mendakwa bahawa presdien FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tidak menghormati beliau dan anaknya kerana enggan meluangkan masa bertemu mereka ketika lawatan ke Wisma FAM 16 Jun lalu.


FAM sebelum ini juga sudah menjelaskan bahawa rundingan bersama pemain itu dan bapanya telah dijalankan sejak 2020 lagi namun tidak berjaya atas sebab-sebab tertentu.

Difahamkan bapanya mahu Jaami diberi keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal terlebih dahulu.

Beliau juga dilaporkan masih enggan melepaskan pasport Great Britain yang dipegangnya, walaupun itu merupakan perkara yang paling penting memandangkan ia melibatkan perlembagaan negara.

Sekiranya Jaami betul-betul mahu mewakili Malaysia, sudah tentu tiada masalah baginya untuk melepaskan pasport Great Britain.

Keengganannya melepaskan pasport Great Britain seakan-akan menunjukkan yang beliau masih berharap untuk mewakili England walaupun Jaami baru saja dilepaskan oleh Brighton & Hove Albion.

Situasi ini jelas berbeza dengan pemain muda berdarah Indonesia yang berasal dari Acheh, Khuwailid Mustafa yang ketika ini bermain bersama kelab ternama Qatar, Qatar SC.

Walaupun layak bermain untuk skuad kebangsaan Qatar, beliau menunjukkan kesungguhannya mahu menyarung jersi Garuda.

Bapa beliau, Mustafa Ibrahim sendiri mengakui begitu teruja jika anaknya mendapat peluang untuk bermain dengan Indonesia dan ketika ini hanya menunggu panggilan daripada ketua jurulatih, Shin Tae-yong.

Qatar juga bukanlah calang-calang pasukan dan akan beraksi di Piala Dunia tahun ini, selain itu bola sepak mereka juga dilihat semakin meningkat dan merupakan salah satu gergasi Asia.

Namun prospek untuk bermain bersama Qatar sanggup dilepaskan olehnya untuk mewakili negara tercinta, Indonesia.

Berdasarkan situasi kedua-dua pemain ini, jelas menunjukkan perbezaan ketara antara pihak yang betul-betul mempunyai hasrat untuk mewakili pasukan kebangsaan dan juga pihak yang sekadar mahu bermain ‘tarik tali’ dan hanya menjadikan Malaysia sebagai pilihan kedua.

Daripada membazirkan masa dan tenaga melayan permintaan bapa Jaami, adalah lebih baik bagi FAM bakat-bakat atau pemain warisan lain yang betul-betul mahu menyarung jersi Harimau Malaya, misalnya Kobe Jae Chong.