Masa depan Brad Maloney terus jadi teka teki

661

Ketua jurulatih B-23 negara, Brad Maloney dilihat hadir pada perlawanan Liga Super di antara Selangor FC dan Sabah FC baru-baru ini.

Kehadiran beliau terus menimbulkan persoalan tentang masa depannya selaku pengendali pasukan B-23 kebangsaan yang masih tiada jawapan sehingga ke hari ini.


Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa pengendali dari Australia ini berkemungkinan besar akan digantikan selepas aksi mengecewakan anak-anak buahnya di Piala Asia B-23 2022.

Berdasarkan pemerhatian Harimau Malaya, penampilan Maloney kelihatan sugul dan mungkin perkara ini disebabkan masa depan beliau yang belum dapat ditentukan dan terus menjadi teka-teki sehingga ke hari ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga kini belum memberi kata putus tentang jawatan ketua jurulatih B-23 negara meskipun telah melakukan sesi post-mortem hampir sebulan.

Pembantu jurulatih pasukan senior kebangsaan, Pau Marti Vicente dari Sepanyol, merupakan antara nama yang disebut-sebut layak untuk dipilih sebagai pengganti kepada Maloney berdasarkan pengalamannya mengendalikan pasukan belia Barcelona sebelum ini.

Seorang lagi jurulatih yang mempunyai reputasi hebat di peringkat Asia, Kim Hak-bum turut dicadang sebagai calon pilihan selepas berjaya membawa pasukan Olimpik Korea Selatan layak sehingga ke pusingan suku akhir di temasya Sukan Olimpik 2020.

Meskipun perkara ini sudah berlarutan dengan agak panjang, namun penyokong Malaysia masih menunggu keputusan yang akan dilakukan oleh FAM.

Penyokong juga sedang menantikan pelan strategi yang akan dilakukan oleh badan induk bola sepak negara untuk segera meningkatkan kualiti dan prestasi pasukan tersebut menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024.

Sekiranya Maloney dikekalkan, beliau perlu menganalisa semula kekurangan yang dimiliki oleh anak buahnya dan mencari pendekatan terbaru untuk menambah baik kemampuan pasukannya untuk kembali mendapatkan rentak terbaik mereka.

Pasukan negara kalah pada kesemua perlawanan peringkat kumpulan di kejohanan Piala Asia B-23 baru-baru ini yang berlangsung di Uzbekistan.

Sebelum itu, skuad muda ini juga gagal menampilkan aksi cemerlang selepas hampa di Sukan SEA Hanoi tanpa sebarang pingat.  

Barisan pemain muda yang dimiliki oleh pasukan negara mempunyai kemahiran yang tinggi namun memerlukan corak taktikal dan pendekatan yang bersesuaian untuk memaksimakan kemampuan mereka.

Maloney mengambil alih tugasan ketua jurulatih pasukan B-23 negara dari bekas ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang telah ditamatkan kontrak.

Kejayaan tertinggi Maloney bersama pasukan negara adalah apabila berjaya membawa skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir Piala AFF B-19 2019 namun tewas 1-0 kepada pasukan Australia.