Bermain di pentas Asia sejak sekian lama, KL City FC masih tak mampu tarik penyokong

2,628

Kejayaan KL City FC mara ke peringkat separuh akhir zon ASEAN Piala AFC 2022 pastinya membanggakan penyokong setia pasukan itu yang sudah lama tidak merasa berada di pentas Asia.

Di sebalik kejayaan itu, jumlah kehadiran yang amat sedikit merencatkan sedikit keraian The City Boys yang kali terakhir bermain di pentas Asia pada 1994 dalam kejohanan Asian Cup Winners’ Cup.


Hanya 1,354 penyokong yang hadir ketika perlawanan menentang kelab Singapura, Tampines Rovers pada hari bersejarah buat kelab itu semalam.

Pada perlawanan pertama menentang PSM Makassar minggu lalu pula, 1,259 penyokong yang hadir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Jumlah itu ternyata amat sedikit dan tidak sampai separuh daripada kapasiti stadium itu iaitu sebanyak 18,000 tempat duduk.

Kedua-dua angka itu juga bukanlah jumlah penyokong KL City sahaja tetapi kehadiran penuh penyokong, jadi jumlah sebenar penyokong KL City yang hadir adalah lebih sedikit.

Perkara ini amat menyedihkan memandangkan ini adalah satu kejohanan bertaraf antarabangsa, jadi penyokong sepatutnya berbangga dapat melihat pasukan kesayangan mereka bermain di pentas ini.

Ini juga bukanlah kejohanan yang sentiasa disertai oleh KL City jadi sepatutnya penyokong mengambil peluang untuk memberi sokongan padu kepada para pemain.

Malah beberapa perlawanan liga sebelum ini seperti ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) juga menyaksikan kehadiran yang jauh lebih tinggi berbanding malam semalam.

Tambahan pula bagi perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC 2022 ini, pihak KL City telah menawarkan tawaran tiket kombo dengan harga RM40 untuk tiga perlawanan, jadi ia sepatutnya dapat menarik lebih ramai penyokong.

Sudah tiba masanya buat pengurusan kelab melakukan sesuatu bagi menarik lebih ramai penyokong turun ke stadium, seperti promosi dan pemasaran yang meluas.

Bukannya KL City tidak mempunyai penyokong, cuma mungkin tiada ‘hype’ atau aura yang membuatkan mereka mahu turun ke stadium.