Dodgeball, permata sukan negara yang tidak diendah

5,472

Ketua jurulatih pasukan Dodgeball negara, Mohammad Nazri meletakkan harapan yang tinggi agar pasukan bimbingannya mendapat bantuan dari segi fasiliti dan dana yang akan membantu mereka untuk meningkatkan lagi prestasi semasa.  

“Dari segi dana, memang pasukan ini masih menantikan penaja atau pihak yang sudi membantu.

“Kami menghadapi masalah besar untuk mendapatkan pusat latihan tetap yang selesa dan mempunyai fasiliti yang mencukupi untuk melakukan latihan dan aktiviti.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Lebih menyedihkan, pencapaian pasukan Dodgeball negara di peingkat antarabangsa boleh dianggap sebagai menakjubkan dan cukup membanggakan namun sambutan yang diterima tidak langsung mencerminkan perkara tersebut.


Malaysia mempunyai wakil untuk empat kategori utama sukan tersebut iaitu, pasukan lelaki, pasukan wanita, pasukan campuran dan pasukan B-21.

Pasukan lelaki dan campuran kini berada di ranking No. 1 dunia manakala skuad wanita berada di ranking ke-3 dunia.

Meskipun kejayaan demi kejayaan telah diraih oleh kesemua pasukan, masih belum ada sambutan yang meluas diterima oleh sukan ini di Malaysia.

Kehampaan ini turut dikongsikan oleh ketua pasukan lelaki negara, Shahrul Azmi yang telah bermain sukan ini selama sepuluh tahun.

“Tidak ramai yang tahu tentang sukan ini, bilangan individu yang cakna tentang sukan ini masih rendah.

“Masih belum ada sambutan sewajarnya untuk sukan ini berbanding sukan utama yang lain meskipun kami berada di ranking No. 1 dunia.”

Beliau merupakan antara pemain dari kumpulan pertama yang masih kekal menabur bakti sejak sukan itu diperkenalkan di Malaysia.

Pada masa yang sama, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk para pemain untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kewujudan sukan Dodgeball ini.

Ketua pasukan wanita negara, Wan Adhwa Ezzdihar percaya kelebihan yang dimiliki oleh media sosial pada hari ini mampu membantu dalam usaha mempromosi sukan ini kepada kumpulan sasaran yang lebih besar.

“Saya dan pasukan telah cuba mengambil beberapa inisiatif seperti membuat video untuk mempromosikan sukan Dodgeball ke khalayak ramai.

“Ada juga ahli komuniti kami yang membantu dalam membuat video TikTok untuk memberitahu orang ramai tentang sukan ini dan cara bermain.”

Persekutuan Dodgeball Malaysia (MDF) telah diasaskan pada tahun 2015 di Shah Alam.

Antara pencapaian terbaik pasukan ini adalah menerusi pencapaian pasukan lelaki yang berjaya memenangi pingat perak Piala Dunia Dodgeball pada tahun 2018 yang berlangsung di New York.

Selepas ini, mereka akan menuju ke Piala Dunia yang akan berlangsung di Mesir pada pertengahan Disember.

Penganjuran tahun ini adalah kesinambungan daripada kejohanan yang dibatalkan pada 2020 akibat daripada penularan COVID-19.

Sukan Dodgeball semakin diterima di rantau Asia termasuk Asia Tenggara yang kini mempunyai beberapa negara seperti Brunei, Filipina, Singapura, Thailand dan Timor Leste yang telah mempunyai pasukan senduri.

Situasi positif ini diharap dapat membantu kepada usaha kerajaan untuk memastikan sukan ini dapat dipertandingkan di kejohanan besar seperti Sukan SEA agar lebih dikenali dan mendapat tempat di hati peminat sukan tanah air.

Semoga sukan ini akan dapat menarik perhatian dari ramai pihak bagi terus memberi sokongan kepada para pemain yang telah bertungkus lumus sekian lama untuk menjulang nama negara di persada dunia.