Ervin Chang harap sukan golf di Malaysia lebih mudah diakses oleh sesiapa sahaja
Pemenang dua pingat emas di Sukan SEA Hanoi, Ervin Chang berharap agar sukan golf di Malaysia akan berkembang dan menarik lebih ramai lagi orang untuk menceburi sukan ini terutamanya pemain junior.
Menurut Ervin, beliau tidak menafikan pembangunan sukan golf di negara sudah memperlihatkan perkembangan positif tetapi masih ramai lagi yang tidak mendapat akses untuk menceburi bidang berkenaan berikutan ‘kos’ untuk sukan ini masih belum mencapai tahap ‘berpatutan’.
“Saya harap untuk masa depan kita akan dapat melihat pembangunan sukan golf terutamanya dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai keinginan untuk bermain golf dengan kos yang berpatutan.
Perkara ini memerlukan sokongan penuh dari Persatuan Golf Malaysia (MGA). Bukan sahaja di Malaysia tetapi tempat lain juga berdepan situasi sama. Jadi saya harap pada masa depan lebih ramai lagi akan dapat bermain golf dengan kos yang berpatutan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Ketika Sukan SEA baru-baru ini, Ervin telah mencipta sejarah apabila berjaya meraih pingat emas dalam kategori perseorangan sekaligus menamatkan penantian 21 tahun Malaysia untuk pingat emas dalam sukan golf di Sukan SEA.
Kecemerlangan Ervin diteruskan dalam kategori berpasukan bersama Marcus Lim, K. Rhaasrikanesh dan A Nateeshvar apabila mereka berjaya meraih emas sekaligus menumpaskan pasukan pilihan dari Thailand.
Dalam pada itu, pemain golf berusia 23 tahun ini turut berkongsi detik manis beliau ketika beliau berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA baru-baru ini.
“Selalunya saya tidak akan tanya skor pemain lain supaya saya dapat fokus pada permainan saya, tapi kali ini pada lubang ke-14 saya tanya jurulatih siapa yang berada dikedudukan teratas ketika ini dan beliau beritahu saya sekarang ini ada enam pemain dengan skor sama iaitu enam di bawah par.
Apabila saya tahu saya cakap pada diri saya; ‘Okay lubang 14 saya ada peluang birdie, jadi saya boleh potong kedudukan teratas dan main secara biasa’. Sampai lubang 18 ketika pukulan ketiga saya tanya lagi dan ketika ini kedudukan saya sama dengan pemain dari Indonesia, Amadeus Christian Susanto.”
Tamat 18 lubang, Ervin dan Amadeus berkongsi kedudukan dengan tujuh di bawah par sekaligus mengheret permainan ke pusingan play-off yang mana pemenang hanya diketahui selepas tiga lubang apabila Ervin mencatat birdie sekaligus mengesahkan pingat emas buat dirinya.
Kejayaan ini juga menebus kekecewaan Ervin pada penampilan pertamanya di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
Ervin yang merupakan pemain golf amatur ketika mencipta sejarah di Sukan SEA telah membuat pengumuman bahawa beliau kini sudah menjadi pemain profesional dengan misi untuk cuba menang seberapa banyak kejohanan golf profesional dalam tempoh beberapa tahun ini.
Beliau akan mula beraksi dalam Profesional Golf of Malaysia Tour (PGM), ADT (Asian Development Tour) dan juga Asian Tour.
Sementara itu, Ervin juga mengakui prestasi pemain-pemain golf negara kini semakin baik dan sudah boleh memberi saingan sengit kepada pemain golf dari Thailand yang sebelum ini sering mendominasi kejohanan golf di rantau ini.
“Kita mempunyai beberapa pemain (Shahriffuddin, Marcus Lim, Danny Chia, Nicholas Fung dan ramai lagi) yang setaraf dengan mereka termasuk saya sendiri rasa saya mampu untuk bersaing dengan pemain dari Thailand atau mana-mana pemain dari rantau Asia mahupun antarabangsa lain.”
Akhir sekali, Ervin juga berharap selepas pandemik COVID-19 lebih banyak kejohanan golf akan kembali dianjurkan kerana pemain-pemain golf profesional perlukan kejohanan untuk beraksi dan mahu menang.
“Dengan MGA kembali menganjurkan kejohanan tempatan PGM, saya melihat ia satu perkara yang sangat positif untuk memberi peluang kepada pemain golf profesional negara yang tidak berpeluang untuk beraksi di pentas antarabangsa untuk beraksi.
Kita mempunyai pemain tempatan yang sangat kompetitif dan sentiasa mahu tonjolkan kehebatan mereka untuk menang. Perkembangan baru mengenai jelajah tempatan ini adalah satu permulaan yang baik untuk golf Malaysia.
Tidak lupa juga pada kejohanan amatur. Jika pemain amatur ini sering berpeluang untuk beraksi dalam kejohanan tertinggi, saya percaya satu hari nanti Malaysia akan melahirkan lebih ramai pemain golf profesional berkualiti.”