Kamil Akmal pasang impian bermain di Liga Jepun satu hari nanti
Pemain pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kamil Akmal merupakan antara prospek muda yang dimiliki oleh pasukan Hijau Kuning pada ketika ini.
Pemain berusia 23 tahun ini berjaya mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad Kedah sepanjang saingan Piala AFC 2022 baru-baru ini.
Selaku seorang pemain yang semakin meningkat naik, beliau menjadikan impian beraksi di luar negara sebagai motivasi untuk terus meningkatkan lagi prestasi semasa.
“Bagi saya liga yang nampak kompetitif adalah Liga Jepun yang nampak lebih sistematik, mereka mempunyai banyak pemain muda yang berkualiti dan bagus.”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kualiti yang dimiliki oleh kelab luar negara seperti Jepun dan Korea Selatan mampu memberi kelebihan kepada para pemain muda negara dalam usaha pembangunan potensi diri mereka di masa hadapan.
“Kelebihan kalau dapat bermain di liga luar dan perkara tersebut akan membantu dalam meningkatkan prestasi semasa.”
Hal ini juga akan memberi kelebihan kepada negara dalam menghasilkan lebih ramai pelapis yang mampu menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa.
Kamil berjaya membantu pasukan Kedah menjadi juara Kumpulan G di saingan Piala AFC mengatasi Bali United FC, Visakha FC dan Kaya FC untuk layak beraksi di peringkat separuh akhir Zon ASEAN.
Lawan mereka selepas ini adalah pasukan PSM Makassar FC yang telah berjaya menjuarai saingan Kumpulan H mendahului sebuah lagi wakil negara, Kuala Lumpur City FC.
PSM Makassar dijangka akan menjadi tuan rumah untuk perlawanan peringkat kalah mati selepas ini.
Dalam pada itu, Kamil mengakui kehadiran pemain import baru dilihat menjadi antara faktor kebangkitan luar biasa pasukan ini meskipun mereka baru sahaja menandatangani kontrak bersama pasukan di saat-saat akhir.
“Mungkin kekalahan di perlawanan pertama adalah disebabkan keserasian yang belum dibina bersama pemain import baru.
Kami berjaya atasi perkara tersebut melalui perbincangan yang dilakukan sebelum perlawanan kedua dan ketiga.”
Pemain sayap, Mahmoud Al Mardi dan pemain tengah, Sanrawat Dechmitr dilihat berjaya membantu barisan serangan pasukan yang diketuai oleh penyerang Ronald Ngah dalam memberi asakan kepada pasukan lawan.
Kesemua pemain pasukan Sang Kenari dilihat berjaya menyerap segala tekanan untuk kembali bangkit meskipun tewas dalam perlawanan pertama.
Selepas ini pasukan Kedah akan menghadapi satu lagi perlawanan sengit apabila dijadual bertemu Terengganu FC pada 6 Julai ini dalam saingan Piala FA.
Kehadiran pemain muda berbakat seperti Kamil meneruskan lagi kesinambungan Kedah yang terkenal sebagai kilang penghasilan ‘ubi muda’.