Lee Zii Jia perlu segera bangkit ketepikan kecaman untuk capai impian rangkul Kejohanan Dunia!

1,027

Pemain badminton No. 1 negara, Lee Zii Jia perlu segera kembali bangkit dari kekecewaan setelah kecundang di pusingan kedua Terbuka Malaysia 2022.

Lebih menyedihkan, beliau berhadapan dengan kecaman yang dilontarkan oleh sebilangan peminat yang hadir ke Axiata Arena dengan menggelarkannya sebagai ‘pengkhianat’ susulan keputusan penarikan diri daripada mewakili negara ke Sukan Komanwel 2022 Julai ini.


Zii Jia yang diletakkan harapan tinggi untuk menyambung kecemerlangan Datuk Wira Lee Chong Wei (DLCW) dalam mendominasi kejohanan tersebut gagal menepati ramalan setelah tewas mengejut kepada pemain di ke-26 dunia, Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia.

Serba tidak menjadi, pemain perseorangan No. 5 Dunia itu sehingga kini masih belum berjaya untuk membuktikan kemampuan sebenarnya.

Sebelum ini, Zii Jia terkandas di saingan suku akhir Indonesia Masters selepas tewas kepada seorang lagi pemain perseorangan Indonesia, Anthony Ginting.

Susulan daripada kekecewaan ini, pemain berusia 24 tahun itu dilihat telah kembali ke kampung halamannya, Kedah berkemungkinan bagi mendapatkan semula semangat beliau.

Terdahulu, Zii Jia ini telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada dua kejohanan besar iaitu Malaysia Masters dan Terbuka Singapura untuk memberi fokus dalam melakukan persiapan yang lebih rapi menjelang Kejohanan Dunia pada Ogos ini.  

Kejohanan Dunia merupakan sebuah kejohanan berprestij yang dianjurkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebagai pentas untuk pemain terbaik dunia membuktikan kehebatan mereka.

Meskipun tindakannya mengundur diri daripada skuad Sukan Komanwel mendapat kecaman, para penyokong badminton negara tetap meletakkan harapan yang tinggi untuk beliau berjaya merangkul pingat emas di Kejohanan Dunia.

Tetapi, persiapan yang lebih terperinci perlu dilakukan oleh beliau dari segi mental dan fizikal tatkala akan berhadapan dengan saingan daripada pemain No. 1 Dunia, Viktor Axelsen yang kini berada di kemuncak prestasinya selepas berjaya merangkul kejuaraan demi kejuaraan tahun ini.  

Sehingga ke hari ini, masih belum ada wakil daripada Malaysia yang berjaya merangkul pingat emas bagi mana-mana acara di Kejohanan Dunia ini.

Pada masa yang sama, Zii Jia juga perlu mengurangkan penggunaan media sosial yang mampu memberi kesan kepada keadaan mentalnya ekoran daripada lambakan komen berbaur negatif yang membanjiri platform digital itu.

Sebaliknya, beliau perlu menjadikan komen membina yang diterima dari pelbagai pihak termasuk legenda badminton negara, Chong Wei sebagai motivasi untuk beliau kembali ke landasan terbaik.

Diharap tempoh persediaan yang dimiliki oleh beliau ini dapat digunakan dengan sebaiknya untuk menebus kehampaan dan berjaya menggegarkan pentas Kejohanan Dunia.